KUALA LUMPUR - Sebuah jawatankuasa yang mengandungi wakil dari kerajaan dan pembangkang serta yang bebas perlu diwujudkan apabila Parlimen kembali bersidang.
Jawatankuasa bebas yang mengandungi semua wakil ini lebih berkesan ketika negara sedang berdepan krisis seperti mana yang sedang dihadapi sekarang.
Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berpendapat, hasil laporan dari jawatankuasa itu perlu dihantar ke parlimen untuk dibahas oleh ahli-ahli parlimen.
Jelas beliau itu kaedah itu sepatutnya dilaksanakan dengan memanggil wakil kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar tertentu ketika negara sedang berdepan krisis.
"Apa masalahnya ketika dalam krisis ini kita jemput dua-dua pembangkang dan kerajaan dalam jawatankuasa ini.
Saya bagi contoh dalam kalangan pakar-pakar pun ada perbezaan pandangan yang besar, strategi yang paling besar tentang jangkitan yang meningkat.
"Dua-dua pihak ada hujahnya, kenapa kita tidak boleh jemput dua-dua pihak, kita macam enggan," katanya.
Jelas beliau, kerjasama antara kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa bebas ini mampu mengatasi masalah hilang kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.
Mengulas isu hilang kepercayaan rakyat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berpendapat rakyat hari ini sudah matang untuk menilai pihak mana yang berusaha mengatasi masalah.
"Bercakap pasal social trust tadi, social trust ini sekarang rakyat sudah matang, first time kita berdepan Covid-19, bila rakyat dah matang, rakyat melihat pemimpin semuanya, bukan kerajaan sahaja.
"Rakyat dah muak tengok yang bergaduh rebut jawatan, frontliners sibuk berdepan masalah atasi Covid-19 tetapi satu sektor politik sibuk nak tukar kerajaan dan tukar tempat sebagainya," ujar beliau.
Menyokong hujah Dr Chandra, Ahli Dewan Negara, Yusmadi Yusoff juga berpendapat sebuah majlis muafakat rakyat perlu ditubuhkan bagi mengatasi masalah hilang kepercayaan terhadap ahli politik dan kerajaan.
"Satu ketika buat Asean Caucus, menteri yang cadangkan dan kita buat sama-sama, hari ini tidak ada pun jawatankuasa khas Covid-19 pun di Parlimen.
"Saya cadangkan selain jawatankuasa khas yang Yang di-Pertuan Agong tubuhkan, kita buat jawatankuasa khas di Parlimen untuk semua bincang tentang krisis yang sedang dihadapi," katanya.
Ketiga-tiga tokoh ini berhujah dalam program Dialog Tiga Penjuru bertajuk yang mengupas topik Parlimen Bersidang: Fokus Isu Rakyat. - Awani