PONTIAN - Hasrat seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja masih tidak kesampaian kerana tiada majikan mahu mengambilnya bekerja.
Muhammad Haikal Rezky Nasruddin, 25, yang berkerusi roda mempunyai kemahiran membuat kimpalan, membaiki motosikal dan paip selain kerja-kerja kontrak dan memiliki Sijil Kursus Kejuruteraan daripada Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Semua pengalaman dan kemahiran itu diperoleh semasa masih normal sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu.
"Saya lumpuh separuh badan susulan kecederaan saraf tunjang namun saya tetap mahu bekerja kerana mempunyai pengalaman dan kemahiran.
"Saya mencari kerja di kedai makan, kilang, bengkel dan sebagainya tetapi semua ditolak.
"Antara alasan diberi ialah mereka mahukan orang yang boleh berdiri dan bukan duduk (berkerusi roda)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chokoh, di sini baru-baru ini.
Dia berkata, sepatutnya majikan tidak melihat kekurangan fizikal semata-mata dalam memberi peluang pekerjaan.
Sebaliknya kata Muhammad Haikal, kemampuan mereka untuk bekerja harus diukur berdasarkan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki.
Dia memerlukan pekerjaan kerana ingin meringankan beban ibunya, Sidah Hamid, 52, setelah bapanya, Nasruddin Salleh, 56, meninggal dunia akibat kanser paru-paru, Februari lalu.
Ujarnya, biarpun menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal, jumlah itu tidak mencukupi kerana perlu menanggung kos perubatan dan pemeriksaan kesihatan RM400 sebulan.
Muhammad Haikal Rezky berkata, berkerusi roda tidak membataskan pergerakannya kerana beliau masih mampu menguruskan diri sendiri termasuk memandu kenderaan yang telah diubah suai untuk ke mana-mana.