KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Yang Dipertuanya, Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata, garis panduan itu akan digunapakai di rumah sembelih ruminan jabatan (Kompleks Abatoir DVS) membabitkan tiga buah jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas selain di lokasi yang mendapat kelulusan MAIK.
Menurutnya, aktiviti korban persendirian dan keluarga tidak dibenarkan.
"Petugas penyembelihan bagi seekor besar tidak melebihi 10 orang manakala lima orang bagi kambing atau bebiri untuk keseluruhan aktiviti termasuk melapah.
"Jumlah haiwan sembelihan maksimum dalam satu hari dihadkan sebanyak lima ekor. Untuk pelaksanaan korban pula, peralatan menyembelih, melapah dan memproses daging juga perlu berada dalam keadaan baik, bersih dan tajam sama ada disediakan oleh penganjur atau dibawa oleh individu.
"Peralatan tersebut tidak boleh dikongsi dan setiap petugas yang hadir perlu diperiksa suhu badan dan direkodkan maklumat setiap kali menyertai ibadah korban. Pemeriksaan ini perlu dibuat di pintu masuk ke tempat pelaksanaan ibadah korban,” katanya.
Mohamad Rizam memberitahu, peserta ibadah korban tidak dibenarkan hadir hanya perlu mewakilkan kepada penganjur bagi menyempurnakan akad dan wakalah.
Selain itu, kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah, petugas yang berumur 70 tahun ke atas termasuk pesakit yang berisiko tinggi dan berpenyakit kronik juga tidak dibenarkan hadir di kawasan ibadah korban.
"Individu yang berada dalam tempoh kuarantin akibat Covid-19 yang mempunyai suhu badan 37.5 ke atas atau bergejala juga tidak dibenarkan menyertai aktiviti dan perlu dirujuk kepada klinik kesihatan berdekatan.
"Penjarakan fizikal sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti diamalkan dan elakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) selain petugas korban wajib memakai pelitup muka,”katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Mohamad Rizam memaklumkan ketegasan pengurusan menjadi faktor utama keberkesanan garis panduan yang disediakan dan membantu memutuskan rangkaian wabak Covid-19.