WAKIL termuda pelayaran ke sukan Olimpik Tokyo, Juni Karimah Noor Jamali dan pasangan Nuraisyah Jamil optimis telah hampir bersiap sedia sepenuhnya untuk beraksi pada sukan temasya terbesar dunia itu bulan ini.
Juni, 19, yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik itu yakin semua persiapan dalam negara kini hampir selesai, hanya berbaki aspek analisis teknikal dan taktikal di kawasan Jepun sahaja yang perlu dikaji.
"Saya pertama kali akan pergi ke Olimpik, jadi, saya harap dapat capai sasaran diletakkan jurulatih kami untuk berada dalam kelompok 15 terbaik,” katanya ketika dihubungi.
Juni kini sedang menjalani latihan saat akhir di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Pulau Langkawi di bawah kendalian jurulatih Muhammad Sahir A Rahim dan akan beraksi dalam acara International 470 wanita sebagai kru, manakala Nuraisyah sebagai ‘helm’.
Mengakui sangat teruja untuk beraksi di Tokyo demi lencana di dada, Juni berharap dapat memberikan aksi terbaik di Tokyo dan pada masa sama memberikan cabaran sengit kepada pelayar lain di Enoshima Yacht Harbor nanti.
Dia bagaimanapun sedikit terkilan kerana tidak dapat merasai kejohanan pemanas badan di luar negara sebelum ke Tokyo susulan banyak pertandingan dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19.
"Namun jurulatih kami ada pelan B, iaitu kami adakan latihan di Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU) di Desaru, Johor dari Mac hingga April lalu untuk mendapatkan suasana seakan Jepun, seperti ombak yang besar macam di negara itu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Juni yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dalam jurusan Sains Sukan dan Rekreasi berkata, buat masa ini, dia tidak ada masalah untuk membahagikan masa sebagai atlet dan pelajar kerana kelas diadakan secara dalam talian.
"Selalunya kami berlatih petang kalau petang, kelas kadang-kadang dibuat melalui rakaman atau Google Meet. Jadi kalau rakaman, saya akan turun berlatih dulu, kalau buat Google Meet, saya akan masuk kelas dulu,” jelasnya.
Selain Juni dan Nuraisyah, dua lagi atlet pelayaran negara layak ke Tokyo ialah Khairulnizam Mohd Afendy yang akan menyertai acara laser standard dan Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial).
Juni dan Nuraisyah sebelum ini menempah tiket ke Olimpik apabila berjaya mengatasi wakil Singapura dan Thailand dengan mendapat tempat kelima di Piala Asia 2019 yang diadakan di Shenzhen, China. - Bernama