Tawar rasuah, polis rampas rokok seludup RM1.13 juta

Iklan
Abdullah (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai RM1.13 juta yang berjaya dirampas di SJR Laloh, Kuala Krai pada Khamis.

KUALA KRAI - Cubaan dua lelaki menawarkan rasuah kepada anggota polis bagi melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Laloh, di sini dengan membawa rokok seludup bernilai RM1.13 juta gagal apabila dicekup pada Khamis.

Ketika pemeriksaan pada jam 6.15 pagi itu, polis turut menahan kedua-dua pemandu lori berusia 29 dan 54 tahun untuk membantu siasatan selain merampas wang tunai berjumlah RM7,515 serta tiga telefon bimbit.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, ketika ditahan mereka telah menawarkan rasuah kepada anggota yang bertugas di SJR namun gagal.

"Pemeriksaan ke atas lori membawa kepada penemuan 227,500 kotak rokok," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Iklan

Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai dari selatan tanah air untuk menghantar bekalan rokok ke Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat.

Tambahnya, mereka menggunakan modus operandi membawa lori mengandungi barangan runcit dan mempunyai kebenaran pergerakan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau memberitahu, suspek direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.