Muhammad Adib sudah mula telah sedar

Iklan
Mohd Azhari (dua, kanan) dalam sidang media di IJN memaklumkan keadaan terkini Muhammad Adib.
KUALA LUMPUR - Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tiga hari lalu telah sedar dan menunjukkan perkembangan positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, Muhammad Adib telah sedar pagi ini dan memahami arahan yang diberikan.

"Dia sudah boleh untuk menggerakkan beberapa anggota badan dan ini merupakan tanda positif bagi menunjukkan otak berfungsi.

"Bagi kecederaan organ pula, Muhammad Adib masih menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru," katanya dalam sidang media di IJN, tadi.

Tambah Mohd Azhari, bagaimanapun, tekanan darah Muhammad Adib masih rendah. Buah pinggangnya rosak dan memerlukan rawatan dialisis.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan keadaan Muhammad Adib buat masa ini masih dikategorikan kritikal, namun stabil.

"Muhammad Adib perlu bergantung kepada mesin ECMO beberapa hari lagi untuk kita memantau keadaannya," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Menteri kecam tindakan perusuh ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib ditarik dari jentera ketika pasukan berundur ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: PDRM tubuh pasukan khas ]


Dalam kejadian itu, Mohammad Adib dilaporkan ditarik perusuh di kawasan kuil ketika pasukannya berundur dari lokasi.

Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) termasuk van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib diserang dengan balingan batu dan objek lain menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin serta badan kenderaan itu.

Dalam situasi panik untuk berundur, mangsa telah ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.