Bekalan elektrik terputus bongkar sindiket bitcoin

Iklan
Mesin melombong bitcoin yang ditemui di sebuah rumah di Taman Flora, Alor Setar pada Khamis. Foto Ihsan PDRM Kedah

ALOR SETAR - Bekalan elektrik yang terputus akibat penggunaan yang berlebihan di Taman Flora, Alor Setar telah membongkar kegiatan satu sindiket bitcoin di sebuah rumah di taman tersebut pada malam Khamis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, empat lelaki berjaya ditangkap di tingkat atas rumah berkenaan selepas sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menyerbu kediaman itu pada jam 11 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi telah menjumpai 60 mesin melombong bitcoin yang dipasang secara salah dalam bilik tingkat bawah rumah tersebut.

"Aduan telah dibuat oleh penduduk taman kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan berlaku kebakaran kecil di rumah tersebut. Penduduk taman telah pergi untuk membantu memadam kebakaran, namun rumah tersebut dalam keadaan berkunci.

Iklan

"Pasukan polis telah tiba pada jam 11 malam dan berjumpa dengan pegawai TNB yang berada di lokasi kejadian. Bekalan elektrik rumah tersebut telah dimatikan oleh pegawai TNB kerana khuatir berlaku kebakaran yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, anggota polis masuk ke dalam kawasan rumah tersebut mendapati semua tingkap dan pintu berkunci.

Empat lelaki yang ditahan polis di sebuah rumah di Taman Flora bersama 60 mesin melombong bitcoin pada Khamis. Foto Ihsan PDRM Kedah

Iklan

''Ada kesan letupan dan percikan api di wayar elektrik di bahagian luar rumah tersebut.

"Pasukan polis telah memecah masuk ke dalam rumah tersebut dan membuat pemeriksaan di dalam rumah. Pihak polis telah menjumpai empat lelaki sedang bersembunyi di tingkat atas rumah," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga merampas satu set komputer, satu unit network hub dan 60 mesin melombong bitcoin.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut dan mereka direman selama tiga hari sehingga 4 Julai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan," katanya.