'Henti tuding jari, sama-sama bantu mereka memerlukan'

Iklan
Santuni Kuale mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin bersama mereka membantu golongan memerlukan.

Persatuan Santuni Warga Kuala Kangsar Perak perlu dana bantu lebih ramai orang

IPOH - Persatuan Santuni Warga Kuala Kangsar Perak (Santuni Kuale) meminta orang ramai supaya tidak menyalahkan pihak tertentu berikutan perkongsian menerusi temubual di radio Surai FM yang tular pada Khamis.

Penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, Mohd Salehuddin Ab Halim atau dikenali sebagai Abang Din menjelaskan, kesusahan dihadapi oleh keluarga serta individu yang dibantu persatuan itu bukan disebabkan kelemahan pihak berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, disebabkan masalah untuk berhubung dan kehabisan data internet, golongan yang memerlukan tidak mendapat maklumat berkaitan bantuan yang boleh diperoleh.

"Berkenaan video semalam satu keluarga tak dapat makanan kecoh di radio, ada salah faham sikit. Di sini Abang Din nak jelaskan, ada yang menghentam pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), lepas itu hentam pihak-pihak berkuasa dan NGO berkaitan agihan makanan dan sebagainya.

Iklan

"Keluarga-keluarga ini mungkin terlepas pandang mengenai bantuan kerana tak ada lagi kredit telefon untuk menghubungi sesiapa bagi mendapatkan bantuan daripada pihak Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undanga Negeri (ADUN) dan sebaganya. Abang Din mohon hentikan kecaman macam ini ia tak membantu pun," katanya menjelaskan perkara itu menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Pada Khamis, rakaman video perbualan Mohd Salehuddin bersama penyampai Suria FM itu tular dan mendapat simpati netizen selepas dia menceritakan mengenai kesusahan sebuah keluarga yang terputus bekalan makanan di Kuala Kangsar.

Abang Din melalui satu rakaman video yang dimuatnaik di laman Facebook menjelaskan mengenai keadaan sebuah keluarga yang dibantu setelah rakaman video menjadi tular sejak semalam.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Santuni Kuale, Razmin Mat Sabri berkata, persatuan itu ditubuhkan pada tahun 2019 dengan matlamat asal menyantuni golongan seperti pengawal keselamatan, pemandu teksi, pengutip barang kitar semula dan sebagainya di sekitar Kuala Kangsar dengan memberikan makanan dan minuman kepada mereka.

Menurutnya, bagaimanapun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, NGO tersebut memberi fokus kepada membantu golongan yang terjejas di sekitar Kuala Kangsar disebabkan pelaksanaan tersebut.

"Memang kita nampak ramai yang susah dalam tempoh ini. Malah ada keluarga yang tinggal rumah teres, kita turun sampaikan sumbangan terpaksa guna pelita sebab tak mampu nak bayar bil elektrik.

"Dana yang kita ada kebanyakannya disumbangkan oleh masyarakat di sekitar Kuala Kangsar dan jumlah sumbangan juga tidaklah begitu banyak. Jadi hanya yang betul-betul susah sahaja kita dapat bantu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, jika bantuan ingin disalurkan kepada lebih ramai penerima mereka memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan, namun ketika ini hanya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Razmin mengharapkan agar pihak berkaitan mempermudahkan urusan NGO untuk menyampaikan bantuan tanpa sebarang karenah birokrasi.

Katanya, bantuan yang ingin disalurkan perlu dihantar segera dan terus kepada penerima supaya mereka tidak kelaparan.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya bertanyakan khabar jiran masing-masing bagi mengetahui keperluan mereka.

Sementara itu, Razmin meminta orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus ke akaun Persatuan Santuni Warga Kuala Kangsar Perak bernombor 8604762306 (CIMB Bank).