SEMENYIH - Pakatan Harapan (PH) menolak tanggapan ia ketandusan modal politik dan mengeksploitasi kemelut melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal utama ceramah dan kempen bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata banyak lagi isu setempat dan permasalahan rakyat yang dibawa oleh mereka tetapi modal 'Najib' turut digunakan semata-mata untuk mengingatkan rakyat mengenai punca mereka menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
"Tidak semua ceramah begitu... banyak modal lain juga tetapi faktor itu perlu disebutkan untuk membetulkan keadaan agar rakyat tidak lupa apa yang menyebabkan negara menjadi begini seperti hutang negara dan kos sara hidup meningkat.
"Kita bukan eksploitasi that single factor," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sembang Santai bersama masyarakat Cina di sebuah restoran di Kampung Baru Cina di sini hari ini dalam siri kempen untuk calon PH, Muhammad Aiman Zainali, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih minggu hadapan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pakatan berkenaan tidak goyang dengan imej 'Bossku' yang dibawa oleh Najib, malah percaya pengundi Semenyih bijak menilai siapa pemimpin yang sepatutnya disanjung.
Muhyiddin berkata beliau berandaian Najib sering turun padang di setiap pilihan raya kecil kini kerana tidak mahu dirinya tenggelam dengan pengaruh yang kini diraih Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan tidak mahu dirinya dilupakan.
"Itu andaian sayalah. Dia bimbang kalau tidak tunjuk muka nanti orang lupa jadi kenalah popularkan diri dengan pelbagai cara...minat dia masih ada lagi nak balik kepada UMNO, minat dia nak balik sebagai perdana menteri mesti ada di situ selepas melihat Dr Mahathir boleh menjadi perdana menteri buat kali kedua," katanya.
Muhyiddin seterusnya berkata walau apa jua tindakan pembangkang mengkritik kerajaan, beliau percaya dalam tempoh mendatang ini akan lebih banyak lagi pengumuman, keputusan dan berita baik akan diumumkan.
"Pembangkang takut kerana pakatan kami semakin kuat jadi mereka putar macam-macam (cerita) dengan cuba lagakan kami...itu politik terdesak, politik bankrap, (mereka) buat macam itu dengan harapan rakyat akan terpengaruh," katanya.
Menjawab tuduhan PH memberi rasuah dengan mengedarkan bubur lambuk pada Jumaat lepas di sebuah masjid di sini, beliau berkata:"Ini ada orang bagi saya air (di restoran)...takkanlah ia rasuah... jangan terlalu excessive, melampau.
"Saya tidak fikir beri bubur lambuk kepada masyarakat adalah rasuah...ia adalah normal... bukannya berikan wang RM10 atau RM100... kalau tidak sampai ke tahap itu saya tidak fikir itu satu masalah besar," katanya.
PRK DUN Semenyih pada 2 Mac menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.
Kerusi Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu. - Bernama