Pemulih: KPLB jayakan penyampaian bantuan bersasar

Iklan
Abd Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memastikan semua bantuan bersasar di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sampai kepada masyarakat luar bandar selaras Dasar Pembangunan Luar Bandar ke arah Luar Bandar Sejahtera.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, penerima manfaat utama kementerian itu, khususnya rakyat M40, B40, miskin dan miskin tegar, akan terus diberi perhatian dan dibantu untuk meningkatkan ‘resilience’, dalam mengharungi impak pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"KPLB menyahut usaha kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas dengan menawarkan kemudahan, insentif dan bantuan, melalui agensi-agensi di bawah KPLB yang bertujuan mengurangkan impak pandemik Covid-19, ke atas sosioekonomi masyarakat luar bandar,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, KPLB telah melaksanakan banyak inisiatif bagi membantu masyarakat luar bandar, antaranya melalui penangguhan bayaran balik pinjaman perniagaan dan pendidikan, mempermudahkan akses vaksin kepada penduduk luar bandar, dan pemberian Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat orang asli.

Iklan

Berhubung Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Abd Latiff berkata, KPLB juga akan membantu memudah cara penyampaian maklumat berkaitan bantuan itu, agar dapat dimanfaatkan kepada lebih 1 juta isi rumah luar bandar, yang telah dikenal pasti di dalam kumpulan M40, B40, miskin dan miskin tegar.

Selain itu beliau berkata, pakej Pemulih yang menawarkan 1GB data internet percuma diyakini dapat meningkatkan capaian internet, dan seterusnya mempermudahkan lebih 18,000 pelajar B40 luar bandar, yang telah dikenal pasti bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). - Bernama

Iklan