Op Patuh: Lima premis di Melaka dikompaun RM50,000

Iklan
Abdul Majid (tiga, kanan) memberi amaran kepada sebuah kilangsi Serkam, Jasin yang didapati mengabaikan SOP penjarakan sosial dalam pejabat.

JASIN - Lima premis iaitu empat di daerah ini dan satu di Daerah Melaka Tengah dikompaun keseluruhan berjumlah RM50,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Op Patuh dilaksanakan pada Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, empat premis itu daripada 218 kilang ataupun premis yang diperiksa pada hari pertama Op Patuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, empat kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan membenarkan lebih 60 peratus pekerjanya hadir manakala satu lagi atas kesalahan tidak patuh kepada penjarakan sosial.

"Kita turun di kilang-kilang dan asrama bagi membuat pemeriksaan Op Patuh pada hari ini membabitkan 150 premis di daerah Melaka Tengah, 37 di Jasin dan 31 daerah di daerah Alor Gajah.

Iklan

"Setakat ini kita berpuas hati dengan pemeriksaan di kilang dan pemantauan yang dilakukan dianggarkan 80 peratus kilang diperiksa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi bersama mengekang penularan Covid-19," katanya kepada pemberita selepas melakukan Op Patuh di Serkam, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid dan Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, polis turut memberikan amaran kepada majikan yang masih tidak mengamalkan SOP ditetapkan seperti tidak menyediakan alat mengimbas suhu, tanda laluan keluar masuk dan sebagainya.

"Kita akan meneruskan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan majikan tidak memadang remeh setiap SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memperbaiki serta meningkatkan SOP secara berkesan," katanya.

Dalam pada itu, kompaun dikeluarkan mengikut kategori dan jenis kesalahan di bawah Peraturan 17, P.U (A) 278/2021, iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).