'Terkejut, berdebar tetap tenang......'

Iklan
Syaqiera Mashayikh

PEMANAH wanita kebangsaan, Syaqiera Mashayikh tidak menyangka berpeluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memilihnya membawa cabaran negara dalam acara recurve individu wanita dan pasukan campuran bersama jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Jepun.

Mana tidaknya, pemanah berusia 21 tahun itu menyatakan Sukan Olimpik Tokyo bakal menjadi temasya sukan pertama disertainya dan penampilan ketiga di peringkat antarabangsa selepas bertanding pada dua kejohanan di Paris, Perancis bagi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021, bulan lepas.

Iklan
Iklan

"Terima kasih kepada NAAM kerana memilih saya sebagai atlet yang bertanding ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Sudah semestinya saya bangga dapat mewakili negara ke Tokyo, saya akan cuba buat sehabis upaya di sana,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Syaqiera terlepas peluang ke Sukan Olimpik Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bukan itu sahaja, beliau juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama kepada Brazil selepas tewas 6-2, dalam kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo itu.

Iklan

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan memberitahu pada Selasa lepas bahawa Malaysia mendapat slot ke Tokyo apabila semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi ‘Minimum Qualification Score (MQS)’ sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Jelasnya, Malaysia mendapat slot berkenaan selepas memiliki atlet yang melepasi MQS itu.

Berdasarkan keputusan pusingan kelayakan kejohanan di Paris itu, Syaqiera dan Nurul Azreena mencatat 619 mata manakala Nur Ain Ayuni meraih 594 mata.

Aksi Piala Dunia pula menyaksikan Syaqiera kekal dengan panahan 619 mata, manakala Nur Ain Ayuni dan Nurul Azreena masing-masing mendapat 605 dan 600 mata.

Sementara itu, jurulatih skuad memanah wanita kebangsaan, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata Syaqiera dipilih Jawatankuasa Pemilihan NAAM ke Tokyo selepas memungut 619 mata dan melepasi MQS selain menampilkan prestasi lebih menonjol berbanding dua lagi pemanah dalam kedua-dua kejohanan di Perancis itu.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 turut gembira dapat melihat Syaqiera beraksi di pentas Olimpik dan mahu anak buahnya itu mengutip pengalaman sebanyak mungkin di Jepun nanti.

Sebelum ini, hanya dua pemanah wanita yang pernah beraksi di pentas Olimpik iaitu Mon Redee Sut Txi pada edisi 2004 dan Nurul Syafiqah Hashim pada 2012.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019. - Bernama