[DIKEMASKINI] ERA pengurusan bola sepak Jose Mourinho kembali menyinar selepas pengendali kelahiran Portugal tersebut tiba di ibu negara Itali sebentar tadi.
"Penyokong setia AS Roma, saya akan mengemas beg saya. Jumpa anda di sana," kata Mourinho sebelum itu dalam video yang disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Itali oleh kelab di media sosial.
Pengendali berusia 58 tahun itu kembali semula ke Itali, selepas meninggalkan arena bola sepak negara tersebut 2010 dengan mengemudi sensasi Serie A, Inter Milan ke treble Liga Juara-Juara, Serie A dan Coppa Italia.
Mourinho sebelum ini menganggur selama 15 hari setelah meninggalkan Tottenham Hotspur dua bulan lalu sebelum kembalinya semula ke Serie A diumumkan I Giallorossi dengan perjanjian tiga tahun.
Pemergiannya dari kelab London adalah yang pertama sepanjang karier pengendali itu, sejak awal kariernya di Portugal, meninggalkan kelab tanpa sebarang trofi.
Mourinho mengumpul 25 trofi utama sepanjang kariernya dan menyertai kelab yang tidak memenangi Serie A sejak 2001.
Selain trofi kejuaraan bersama Inter, Mourinho memenangi Liga Juara-Juara pada 2004 dan dua gelaran liga Portugal dengan Porto, tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Chelsea dan La Liga dengan Real Madrid pada 2012, selain memimpin Manchester United ke Liga Europa pada 2017.
Di Rom, dia menggantikan rakan Portugal, Fonseca yang meninggalkan kelab sarat tradisi itu selepas dua musim.
Juara tiga kali Itali itu, yang tanpa trofi sejak 2008, menduduki tempat ketujuh di Serie A musim lalu.
Fonseca menggantikan Claudio Ranieri, yang mempunyai masa cukup singkat sebagai jurulatih setelah Eusebio Di Francesco dipecat pada Januari 2019.
Di Francesco membimbing kelab ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2018.