URUGUAY perlu menguasai bahagian tengah sekiranya berhasrat menewaskan Colombia menjelang aksi kedua-dua pasukan pada pusingan lapan terbaik Copa America 2021 di Stadium Mane Garrincha, Brasília, awal pagi Ahad.
Pemain tengah Uruguay, Rodrigo Bentancur berkata, pendekatan itu antara pilihan terbaik La Celeste untuk menewaskan Los Cafeteros, kendalian Reinaldo Rueda yang semakin mempamerkan prestasi terbaik pada baki saingan kejuaraan berprestij bola sepak Amerika Selatan tersebut.
"Pemain-pemain Uruguay berada dalam mood terbaik untuk meneruskan momentum positif apabila lolos ke fasa kalah mati selepas persembahan hambar pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini.
"Susulan itu (pengendali Uruguay, Oscar) Tabárez memperbaiki taktikal pasukan dengan menekankan aspek penguasaan bahagian tengah semasa sesi latihan Uruguay.
"Colombia pasukan yang sedang meningkat naik dalam setiap perlawanan kejuaraan ini, malah bahagian tengah mereka juga kreatif. Kami akan memastikan juga bahagian pertahanan berada dalam keadaan terbaik, selain memanfaatkan kelebihan serangan pantas kami,” kata pemain tengah yang kini beraksi bersama kelab liga Itali, Juventus.
Mengulas kehilangan kelibat Juan Cuadrado pada pentas kalah mati kali ini, Bentancur mengakui penggantungan rakan sepasukan dalam The Old Lady itu selepas menerima dua kad kuning sememangnya menjejaskan pasukan tersebut.
"Ketiadaan Cuadrado pastinya akan amat dirasai kerana dia antara pemain yang menghidupkan corak permainan Colombia seperti dibuktikan dalam 90 minit setiap aksi fasa kumpulan.
"Biarpun begitu, Colombia tidak berdepan masalah kerana masih memiliki pemain simpanan yang mampu mengalas tanggungjawab ditinggalkan Cuadrado.
"Apa yang penting sekarang adalah kami bersedia ancaman atau helah lawan selain memanfaatkan kelemahan pemain pasukan lawan,” kata bekas pemain kelab liga Argentina, Boca Juniors berusia 24 tahun itu.
Untuk rekod, Uruguay sebelum ini menewaskan Colombia 3-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia tahun lalu.