KANOWIT - Seorang pelajar yang cuba menyelamatkan tiga rakan sekampung yang hanyut di dalam perahu di Sungai Kanowit dikhuatiri lemas apabila hilang dibawa arus deras dalam kejadian tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik ketika dihubungi berkata, mangsa yang dikenali sebagai Carlos Paee, 15 merupakan anggota Kadet Bomba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Bukung Jagoi, pada 1.47 tengah hari, katanya.
Beliau berkata kejadian berlaku apabila mangsa dan rakannya ternampak tiga rakan sekampung berada di dalam perahu menyeberangi sungai untuk memetik buah rambai.
Bagaimanapun, perahu yang mereka naiki dihanyutkan arus deras kerana ketiga-tiga mereka tidak pandai mendayung, katanya.
Beliau berkata mangsa dan rakannya dikenali sebagai David Lee Jilan kemudian terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu tersebut untuk membantu dua rakan lelaki dan seorang perempuan yang sebaya mereka sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.
"David Lee dapat berenang ke tebing dan Carlos terus tenggelam, manakala tiga rakan mereka yang berada di dalam perahu itu telah diselamatkan oleh orang kampung yang kebetulan balik dari hilir sungai,” jelasnya.
Operasi SAR yang disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Kanowit, Polis Kanowit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dihentikan pada 6 petang tadi dan akan bersambung esok pagi.
Arrahman berkata mangsa telah mengikuti Pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru yang berakhir semalam.- Bernama