Bahaya mulut patahkan tulang

Iklan
Foto 123RF

ORANG-orang bijak dahulu kala banyak mencipta pepatah Melayu berkenaan mulut. Antara yang tersohor, kerana mulut badan binasa. Ini mungkin bermaksud kerana mulutnya jahat agaknya, maka akan marahlah orang yang menjadi mangsa mulutnya. Mungkin dipukulnya orang bermulut jahat itu, maka binasalah badannya.

Selain itu mungkin ada juga pepatah Melayu lama tentang mulut yang tidak biasa kita dengar. Kalau kita semak di carian umum Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), ada lebih kurang 64 pepatah tentang mulut.

Iklan
Iklan

Kalau kita membuat carian di PRPM berkenaan pepatah akal pula, hanya ada 24 pepatah sahaja yang memperihalkan akal. Mungkin di sini sekali lagi kita boleh juga membuat kesimpulan bahawa kurangnya orang menggunakan akal dengan baik.

Mulut ini selain membawa binasa pada badan, boleh juga digunakan untuk makan. Apabila selepas kita makan hendaklah kita menjaga mulut supaya tidak berbau. Mulut yang berbau boleh membawa bencana juga kadang-kadang.

Iklan

Mulut juga boleh menyebabkan orang tertawan hati. Kerana mulut boleh berbicara manis untuk membuat hati tidak keruan. Orang-orang politik memang hebat dengan kemahiran bermulut manis.

Bak kata pepatah lagi, mulut manis mematahkan tulang. Memang hebat pepatah ini. Hanya membaca pepatah ini sahaja saya dapat merasa seperti tulang dipatah-patahkan. Apatah lagi kalau orang yang berkata-kata seorang wanita cantik pula.

Iklan

Memang orang-orang politik mempunyai kemahiran mematahkan tulang orang dengan mulut manisnya. Biasanya sebelum mengundi, untuk meraih sokongan. Mereka akan berucap, bercakap bertemu dengan rakyat jelata dengan ungkapan manis memberi janji.

Rakyat jelata yang terpengaruh atau terpesona dengan mulut manis orang politik ini ibarat telah patah tulangnya. Apabila tulang patah memang sakitlah badannya. Silap-silap tidak boleh bergerak ke mana-mana lagi.

Kita perlu berhati-hati dengan mulut manis orang politik ini. Menurut pepatah Melayu lama lagi, selain bermulut manis, apabila mulut bau madu, pantat bawa sengat. Ini lebih berbahaya, kerana ia bermaksud pada lahirnya baik tetapi jahat hatinya.

Orang-orang begini amat susah sekali untuk dikesan kejahatannya. Mulutnya yang manis dan berbau madu ini mungkin telah meruntunkan hati kita. Dan kita hanya tersedar kejahatannya apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kalau hendak saya kira, banyak lagi pepatah Melayu tentang mulut ini yang memberi petanda kepada kita akan sifat-sifat manusia ini. Kalau kita lebih teliti akan pepatah tentang mulut ini, kita akan perasan akan satu golongan orang yang menggunakan mulut mendahului akal.

Mereka ini tidak berfikir, tetapi bercakap dahulu ataupun berbuat dahulu kemudian baru berfikir. Selepas itu mereka akan gunakan mulut manisnya minta maaf apabila dikecam rakyat jelata.

Pepatah berkenaan akal pula tidak sebanyak pepatah tentang mulut seperti yang saya tulis tadi. Antara pepatah Melayu lama tentang akal ialah, akal labah-labah; di gua buruk suka merakut. Akal orang begini sangat bahaya. Selain mulut yang manis, mereka juga mempunyai akal yang suka menipu orang.

Namun ada lagi golongan yang sangat bahaya juga. Mereka bukan sahaja mempunyai mulut yang manis bak gula dan madu dan akal labah-labah, tetapi mereka juga sebenarnya bak kata pepatah, sembahyang mencari akal, rukuk mencari kira-kira.

Orang begini sangat bahaya kerana mempunyai penampilan yang menyejukkan perut ibu mengandung. Sekali pandang bersih air mukanya. Sopan santun tutur katanya. Mulutnya sentiasa menyebut dalil itu dan ini. Kadang-kadang dibacanya ayat-ayat al-Quran untuk mematahkan tulang orang yang mendengarnya.

Maka, eloklah selepas ini kita berhati-hati. Apabila tiba pilihan raya, perhatikan penampilannya, ingat balik apa yang diucapkan oleh orang yang rukuknya mencari akal ini, dan mulut manis mereka sebelum pilihan raya, dan perhatikan juga permainan licik akal mereka sebelum memangkah. Insya-ALLAH moga-moga selamatlah negara kita.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com