PENDANG - Seorang maut manakala dua anggota polis cedera dalam kemalangan di KM58 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan kira-kira 5.40 petang tadi.
Kejadian berlaku semasa dua anggota polis sedang membuat pemeriksaan ke atas sebuah van bernombor pendaftaran dari Thailand dipandu lelaki dari negara terbabit.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, Koperal Ahmad Haniff Awang, 31, bersama Koperal Mohd Azam Rahim, 29, melakukan tugas rutin mereka.
Menurutnya, selepas selesai membuat pemeriksaan, semasa kedua-dua anggota terbabit ingin meneruskan rondaan, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang.
"Dalam masa sama kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) telah menggelungsur ke hadapan dan terlanggar van yang telah diperiksa tadi.
"Apabila anggota turun memeriksa kenderaan mendapati sebuah kereta dipandu Lem Wei Hong, 28, beralamat dari Taman Batik Sungai Petani telah melanggar bahagian belakang kenderaan EMPV," katanya.
Beliau berkata, akibat rempuhan, Ahmad Haniff cedera di belakang kepala manakala Mohd Azam mengalami sakit di bahagian kaki kiri dan dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Akibat kemalangan, Wei Hong mati di tempat kejadian manakala pemandu warga Thailand tidak mengalami kecederaan.
Mayat dihantar ke HSB untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.