Laluan Bas Smart Selangor dipinda bagi mudahkan rakyat ke PPV

Iklan
Beberapa laluan Bas Smart Selangor dipinda bagi mudahkan orang awam ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

SHAH ALAM - Beberapa laluan Bas Smart Selangor akan dilencongkan ke kawasan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, pada masa kini, usaha itu berada dalam tempoh percubaan melibatkan beberapa laluan hasil kerjasama antara kerajaan negeri bersama pihak kontraktor.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, laluan-laluan ini akan dipinda buat sementara waktu bagi memenuhi keperluan semasa dan sehingga pengoperasian PPV tamat.

"Pindaan laluan ini akan membolehkan rakyat hadir ke PPV untuk menerima vaksin pada tarikh janji temu yang ditetapkan khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Sze Han berkata, buat masa ini, Bas Smart Selangor telah memasuki ke 11 lokasi PPV sekitar negeri ini menerusi beberapa pindaan laluan yang dilakukan.

Menurut beliau, pindaan laluan-laluan lain masih sedang dikaji dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Iklan

"Inisiatif dan usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kapasiti penerima vaksin di Selangor dan seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok," katanya.

Antara lokasi PPV yang dilalui Bas Smart Selangor pada masa ini adalah melibatkan PPV Pyramid Convention Center, PPV Hospital Pengajar UPM, PPV Mines Convention Center, PPV Hospital Serdang, PPV Pandamaran, PPV Bangi Avenue Convention Center, PPV Bangi Golf Resort, PPV Evo Bangi, PPV Stadium Kuala Selangor, PPV Dewan Tan Sri Noh Omar dan PPV Dewan Berlian.

Kerajaan Selangor sebelum ini turut melancarkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) pada Rabu dalam usaha melengkapi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mencapai tahap imuniti kelompok lebih awal di negeri itu.