Bendera putih misi kemanusiaan rakyat Malaysia: AMK Kedah

Iklan
Mohammed Firdaus Johari

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyifatkan kempen bendera putih adalah misi kemanusiaan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata, pihaknya kesal dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu di Kedah sebagai tanda memerlukan bantuan makanan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kempen ini adalah inisiatif yang digerakkan oleh rakyat Malaysia dan merupakan tanda solidariti serta keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan pelaksanaan PKP 3.0 dan pandemik Covid-19.

"Kempen ini juga bertujuan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang sedang dalam kesusahan dan tertekan ketika ini. Kempen bendera putih merupakan misi kemanusiaan rakyat Malaysia.

Iklan

"Mengecewakan apabila YAB Menteri Besar Kedah menganggap penggunaan bendera putih ini merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat dan menyatakan kerajaan sedang berjaya menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, AMK Kedah turut mempersoalkan apa bukti kerajaan berjaya menangani pandemik Covid-19 dengan baik setakat ini.

Iklan

Jelasnya, sebaliknya kes harian positif Covid-19 semakin hari semakin meningkat berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya ingin menegaskan bahawa gerakan ini bukan dicetuskan oleh golongan politik, namun masyarakat sivil setelah melihat situasi terkini yang dialami rakyat.

"Saya menasihati YAB Menteri Besar Kedah agar turun ke bawah dan melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat negeri Kedah yang susah dan tertekan," ujarnya.

Mohammed Firdaus berkata, pihaknya juga mencadangkan agar kerajaan negeri Kedah dapat menyediakan bantuan khidmat nasihat kaunseling dan sokongan emosi kepada mereka yang mengalami masalah kemurungan serta tekanan hidup disebabkan oleh PKP.

"Saya menyeru agar kita bersama-sama bersolidariti dalam kempen bendera putih bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat PKP yang masih berterusan ini.

"Marilah kita berganding bahu membantu mereka yang terdesak dan memerlukan bantuan. Semoga kita dapat bertahan dalam menghadapi saat-saat yang amat mencabar ini," katanya.