Penduduk keliru SOP PKPD bersasar KL

Iklan
Keadaan di PPR Batu Muda yang menjalani PKPD bersasar bermula hari ini.

KUALA LUMPUR - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar di kawasan perumahan itu yang dijalankan serentak dengan beberapa lokaliti lain yang berkuat kuasa pada Sabtu.

Ketua Blok A, Abu Bakar Mat Nayan berkata, apa yang disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui media massa tidak sama dengan apa yang sedang mereka jalani di lapangan sekarang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penduduk juga masih samar mengenai status keluar masuk ke perumahan tersebut selain status kebenaran untuk keluar bekerja.

"Ramai yang keliru, tak tahu boleh keluar atau tidak. Ada yang mempunyai surat MITI dibenarkan keluar bekerja atau tidak, itu antara persoalan dibangkitkan penduduk.

Iklan

"Buat masa ini pelaksanaan PKPD di sini masih longgar dan sedang menunggu arahan lanjut daripada MKN. Cuma saya diarahkan untuk mengumpul data setiap isi rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang penduduk, Siti Rhodiliza Yahafi, 47, berkata, dia tidak sempat membuat sebarang persiapan untuk pelaksanaan PKPD disebabkan bekerja.

Iklan

"Saya bekerja dan semalam balik pun dah agak lewat, apabila tiba di pasar raya, saya tak sempat nak beli apa-apa kerana orang penuh.

"Namun, itu tidak terlalu membimbangkan kerana setiap ketua keluarga masih boleh keluar ketika PKPD untuk beli barang, cuma yang saya risau sekarang status untuk pergi kerja," katanya.

Jelasnya, dia difahamkan PKPD di Kuala Lumpur dilaksanakan secara bersasar tetapi penduduk tidak dibenarkan keluar bekerja walaupun ada surat MITI.

"Harap ada penjelasan lebih jelas dan pengesahan mengenai perkara ini sebab saya perlu memaklumkan kepada majikan, tidak mahu dikatakan sengaja tidak mahu datang kerja disebabkan PKPD," katanya.

Blok PPR Batu Muda dikepung dengan pita kuning dan dipantau oleh anggota polis di laluan masuk blok tersebut.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zabidi Mohd Zaid, 32, berkata, pelaksanaan PKPD pada hari pertama masih belum dirasai disebabkan kawalan masih longgar dan penduduk dibenarkan keluar.

"Nak keluar beli barang atau apa-apa urusan penting boleh dilakukan antara jam 10 pagi hingga 2 petang sahaja, manakala untuk bekerja tidak dibenarkan.

"Setakat ini belum nampak sebarang masalah, semuanya berjalan lancar dan tidak nampak kawat duri dipasang. Rasa macam biasa, tidak seperti PKPD," katanya.

Pada Khamis, MKN memutuskan untuk melaksanakan PKPD di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.

Lokasi PKPD di Kuala Lumpur adalah PPR Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 1 dan 2 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2) dan Flat Sri Sabah.

Turut tersenarai Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.