PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Lima negeri akan memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri tersebut adalah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurut beliau, peralihan fasa secara berperingkat itu bergantung kepada nilai ambang tiga indikator utama iaitu keadaan kadar penularan Covid-19 dalam komuniti, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan populasi yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
"Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap minggu juga meneliti nilai ambang utama ini di peringkat negeri-negeri.
"Setelah MKN membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang negeri-negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini pada Sabtu berhubung Fasa Kawalan Pergerakan PPN pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut percaya tindakan yang dilakukan itu adalah adil kepada negeri-negeri lain.
"Sebelum ini, mereka terpaksa terus kekal di fasa satu dan tidak boleh berpindah ke fasa dua kerana negeri-negeri yang mempunyai kes yang tinggi seperti kes Covid-19 di Selangor hari ini (Sabtu) lebih 3,000.
"Kalau nak ditunggu berdasarkan nilai ambang kebangsaan tentu sahaja Perlis tidak dapat berpindah ke fasa dua kerana Selangor jumlahnya tinggi,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus memantau status nilai ambang di negeri-negeri ini pada setiap masa.
"Insya-ALLAH jika telah mencapai tiga indikator tadi, kita akan umumkan lagi sama ada lima negeri ini berpindah daripada fasa dua ke fasa tiga atau negeri-negeri lain fasa satu berpindah ke fasa dua,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sekiranya negeri tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan ketika beralih ke fasa dua, keputusan lanjut akan dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita akan bawa balik perbincangan tersebut kepada bahagian teknikal MKN dan seterusnya akan dibawa ke sidang MKN khas.
"Di situ kita akan buat keputusan secara dasar," katanya.
Menjelaskan lanjut mengenai fasa dua PPN, Ismail Sabri berkata, antara perubahan yang akan dinikmati negeri-negeri yang berpindah ke fasa dua adalah seperti kedai buku dan alat tulis, kedai komputer dan telekomunikasi, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut dibenarkan untuk beroperasi.
Katanya, pergerakan rentas negeri dan daerah juga dibenarkan bagi pasangan jarak jauh (PJJ) dalam fasa dua PPN sekiranya mempunyai kes kecemasan dan keperluan khas serta perlu mendapat kelulusan polis.
Tambahnya, antara perubahan lain adalah pasar pagi dibenarkan untuk beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 11 pagi.
"Jualan hanya terhad kepada enam komoditi utama iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. Pasar minggu, pasar malam, pasar tani belum dibenarkan di fasa dua ini.
"Di bawah fasa dua ini juga kapasiti pekerja bagi sektor swasta dan perkhidmatan perlu akan dinaikkan kepada 80 peratus,” katanya.