SHAH ALAM - Seorang pengusaha bengkel kereta memberi alasan tidak faham prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menyebabkan dia membuka premisnya ketika Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa di sini mulai Sabtu.
Alasan tersebut bagaimanapun tidak diterima apabila lelaki berusia 40-an itu tetap dikenakan kompaun, manakala bengkelnya diarahkan tutup serta-merta dalam Ops Patuh yang dilakukan Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, tindakan kompaun turut dikenakan terhadap sebuah kilang pembuatan paip yang masih beroperasi biarpun sebelum ini pernah mencatatkan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.
"Kilang yang pernah dua kali diserbu sebelum ini kerana melanggar SOP turut diarah tutup serta-merta," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya pada Sabtu menyasarkan kilang serta premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan.
"Pemeriksaan bermula jam 9 pagi melibatkan sebanyak 49 premis kilang di sekitar kawasan Shah Alam."Lima majikan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap satu, selain enam pekerja turut dikenakan kompaun RM2,000 dan dua individu dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kerana melanggar SOP," katanya .
Menurutnya, selain ingkar SOP PKPD, kesalahan lain yang turut dikesan ialah gagal mengimbas MySejahtera ketika masuk premis.
"Operasi dijalankan secara serius. Kita akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar SOP PKPD ini," ujarnya.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut dijalankan bersama beberapa agensi lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sementara itu, beliau meminta kepada mana-mana pihak melaporkan kepada polis sekiranya terdapat majikan yang belum mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi memaksa pekerja datang bekerja.