CYBERJAYA - Pertubuhan Wanita Elit (WE) harus menyahut seruan Kerajaan Selangor melahirkan golongan wanita mahir dalam bidang usahawan dan perniagaan.
Isteri kepada Datuk Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad berkata, Selangor satu-satunya negeri yang memenuhi kouta 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Menurutnya, Selangor sentiasa mengangkat martabat wanita dalam pelbagai aspek ke arah pemberdayaan wanita.
"Di peringkat polisi kerajaan telah menubuhkan Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh 56 DUN dalam menggerak aktiviti wanita.
"Kerajaan negeri turut mengiktiraf peranan wanita sebagai tunjang pembinaan keluarga harmoni. Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) antara inisiatif kerajaan negeri menghargai peranan wanita.
"Program bekerja dari rumah adalah salah satu usaha kerajaan negeri meningkatkan jumlah usahawan wanita melalui panduan kemahiran yang boleh menjana pendapatan membolehkan mereka berdikari dan keluar dari senarai penerima Kiss," katanya.
Beliau berkata demikian di majlis makan malam sempena hari wanita antarabangsa dan majlis ulangtahun ke-2 WE di Dewan Banquet Astana, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi WE, Datin Seri Nurzarina Sepran dengan 300 tetamu termasuk Qariah ternama negara, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya.
Masdiana berkata, WE adalah platform wanita untuk melibatkan diri dalam bidang sosial dan ekonomi selari dengan hasrat penubuhannya untuk memartabatkan wanita.
"Pertubuhan ini telah memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti menaik taraf kehidupan, menjana ekonomi dan melahirkan wanita berpengetahuan dalam teknologi seterusnya menjadi usahawan yang berjaya," katanya.
Sementara itu, Nurzarina berharap agensi kerajaan seperti Mara dan kerajaan negeri menyokong program pemerkasaan wanita WE melalui bimbingan dan kerjasama.
"Saya berharap kerajaan negeri beri ruang dan peluang kepada kami untuk melibatkan diri dalam program-program yang dijalankan.
"Kami komited merealisasikan misi dan visi kami dalam memartabatkan peranan wanita di peringkat nasional dan kini sedang mencari lokasi sesuai di Lembah Klang sebagai pusat sehenti dalam usaha merancakkan sosio ekonomi wanita," katanya.