KKMM dapatkan kebenaran MKN penggambaran di studio

Iklan
Datuk Saifuddin Abdullah

KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran agar aktiviti penggambaran dalam studio dibenarkan apabila negara berada dalam Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, permohonan kebenaran penggambaran itu dicadangkan takluk kepada studio yang sudah diberikan kelulusan sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini bagi membolehkan aspek pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan dapat dikawal sekali gus mengelak penularan wabak Covid-19.

"Kita buat permohonan kepada MKN dan diharapkan ia dibenarkan memandangkan kita ada studio yang boleh digunakan oleh penggiat seni seperti studio di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di Selangor, Johor dan Sarawak.

Iklan

"Selain itu, kita difahamkan ada beberapa syarikat produksi yang mempunyai kemudahan itu dan mereka pasti memberi keizinan menggunakan studio mereka.

"Kalau ikutkan jumlah studio tidak banyak, tetapi dengan kebenaran daripada MKN membolehkan mereka (penggiat seni) untuk melakukan pengembaraan dan sekurang-kurangnya mereka bernafas (beroleh pendapatan)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota 2020 secara maya pada Sabtu.

Sebelum ini, aktiviti penggambaran hanya dibenarkan beroperasi apabila negara berada pada Fasa Tiga PPN iaitu purata kes harian Covid-19 kurang 2,000 kes.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan untuk membantu mereka dalam industri seni kreatif yang terkesan.

Jelasnya, ia termasuk peruntukan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) baru-baru ini.

Ditanya mengenai kempen bendera putih, Saifuddin berkata, kempen itu sebagai tanda meminta pertolongan kerana kehabisan bekalan makanan.

"Kami tiada masalah dengan kempen ini dan berharap supaya rakyat mengibarkannya di lokasi sesuai dan bukannya di tiang elektrik yang boleh membahayakan diri.

"Kami cuba untuk membantu sesiapa sahaja dan mereka boleh menyampaikan permohonan (meminta bantuan) dengan pelbagai cara sama ada melalui panggilan telefon atau maklumat orang ramai, pemimpin setempat atau parti politik, selain mengalu-alukan mereka datang ke pejabat kami di Indera Mahkota 8 di sini," ujarnya yang sudah mewujudkan gerobok asnaf yang diisi dengan makanan asas.