RANTAU PANJANG - Pelbagai jenis seluar panjang dan kain wanita bernilai RM19,005 dirampas dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di Stesen Bas Rantau Panjang di sini pada Sabtu.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan melalui Ops Benteng Covid-19 membabitkan penugasan sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 11.40 pagi itu turut melibatkan penahanan seorang lelaki berumur 65 tahun.
Iklan
Iklan
"Semasa anggota membuat rondaan di sekitar stesen bas Rantau Panjang, kita menemui sebuah kenderaan dan seorang pemandu dalam keadaan mencurigakan.
"Kita melakukan pemeriksaan tubuh badan, namun tidak menjumpai apa-apa barangan salah.
"Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui seluar panjang pelbagai jenis saiz dan warna serta kain wanita yang disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu yang berasal dari Kampung Banggol Merbol itu tidak memiliki sebarang dokumen atau invois pembelian membabitkan barangan yang dibawa.
"Barangan dan kenderaan dengan jumlah keseluruhan RM29,005 itu dirampas dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.