JOHOR BAHRU - Sebuah kilang elektronik dikenakan tujuh kompaun bernilai RM62,000 atas pelbagai kesalahan, manakala 44 pekerja asingnya ditahan dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Dewani di sini pada Sabtu.
Serbuan itu diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim sempena Operasi Pematuhan Akta 446 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 Pelan Pemulihan Negara.
Menurut Awang, kilang yang diserbu itu menjalankan aktiviti pembuatan dan penjualan ‘precision plastic injection mould’ di samping menawarkan pemasangan komponen barangan elektrik dan elektronik.
"Hasil pemeriksaan, terdapat beberapa kesalahan yang dikesan melibatkan pelbagai akta dan beberapa kompaun telah dikeluarkan iaitu dua kompaun bernilai RM10,000 setiap satu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), antaranya kehadiran melebihi 60 peratus.
"Lima kompaun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia juga dikenakan bernilai RM42,000 meliputi kesalahan pekerja tidak mengimbas kod MySejahtera dan majikan tidak melakukan sanitasi di premis perniagaan dan kesalahan di bawah MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri),” katanya.
Operasi itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Asri Ab Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Zailee Dollah.
Seramai 150 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi khas itu, antaranya JTK Johor, JKKP, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, KKM, MITI,
Mengulas lanjut, Awang berkata, syarikat itu juga dikesan melakukan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang membawa kepada penahanan 44 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua 44 PATI itu kemudiannya dibawa ke depot tahanan Imigresen dan JTK Johor juga telah mengeluarkan saman hadir kepada pihak majikan untuk siasatan lanjut dan terperinci.
Sementara itu katanya, sehingga kini, sebanyak 793 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446] terhadap majikan dalam pelbagai sektor yang melibatkan pelbagai kesalahan.
"Daripada jumlah 790 ini, sebanyak 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara dengan jumlah denda yang telah dibayar adalah sebanyak RM431,000.
"Selain menguatkuasakan Akta 446, JTK bersama JKKP telah mendapat kuasa untuk mengkompaun kesalahan di bawah garis panduan Pematuhan Terhadap SOP PKP 3.0 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Sepanjang penguatkuasaan Akta 342 ini, bagi JTK sahaja, sebanyak 734 tempat pekerjaan telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, 158 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai RM1,333,000,” ujarnya.