'Ini bukan masa berpolitik tapi perlu bekerjasama bantu rakyat'

Iklan
Ahmad Faizal (tengah) menyerah Bakul Makanan kepada salah seorang penduduk yang hadir.

IPOH - Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sesuatu kawasan disaran supaya mengetepikan perbezaan politik dan bekerjasama dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, gandingan yang dibina diharapkan dapat menjayakan pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada golongan terjejas dengan lebih menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Semua wakil rakyat tidak kira parti, ini bukan masanya untuk berpolitik tetapi kita mempergiatkan usaha untuk membantu dan mendekati rakyat tanpa kira agama, bangsa dan ideologi politik. Harap semua dapat berganding bahu dalam perkara ini.

"Usaha yang dijalankan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun umpamanya kurang berkesan apabila tidak mendapat sokongan dua pusat khidmat ADUN dalam Parlimen ini.

"Alangkah baik kalau kita dapat jalankan kerjasama kerana masalah Covid-19 dan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memilih fahaman politik," katanya kepada pemberita pada program Penyerahan Bakul Makanan kepada penduduk orang asli Kampung Makmur di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, pihaknya tiada masalah untuk berikan bantuan, namun ia dilihat sebagai tiada koordinasi dalam menyampaikan barangan keperluan asas di kawasan itu.

"Bantuan yang diberikan merupakan peruntukan daripada kerajaan yang bermaksud duit rakyat juga.

Iklan

"Kalau kita guna duit rakyat secara baik walaupun berbeza parti demi rakyat, saya percaya rakyat mengalu-alukan usaha yang dibuat ahli politik.

"Jika tidak, semakin hari rakyat semakin menyampah dengan orang politik," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, pusat khidmatnya mengambil pendekatan untuk terus membantu rakyat yang bertindak menaikkan bendera putih di kawasannya.

Katanya, isyarat rakyat itu bukanlah sesuatu yang perlu dipandang ringan kerana tindakan itu adalah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Jelasnya, rakyat bagaimanapun diminta lebih bertanggungjawab dan berpada-pada dalam meminta bantuan agar tidak mengenepikan hak pihak lain.

"Kami mengambil pendekatan kalau pun ada naikkan bendera putih, kita pergi ziarah. Tentu mereka tidak suka-suka nak buat (naikkan bendera putih), namun pastikan mereka benar-benar perlukan bantuan.

"Terdapat juga pihak yang menyalahgunakan usaha itu dengan mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak hingga berkampit-kampit beras di rumah sedangkan mereka yang memerlukan tidak dapat," katanya.