SHAH ALAM - Belum pun habis berpenat lelah dalam misi kemanusiaan di Palestin, Ustaz Ebit Lew terus komited dalam menggerakkan kerja-kerja kebajikan dalam negara melalui bantuan barangan dapur.
Berkongsi perkara tersebut melalui Facebooknya itu, pendakwah bebas tersebut turut meluahkan perasaan sayu terhadap ujian dihadapi rakyat di negara ini terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga segelintirnya sanggup mengambil tindakan membunuh diri.
Beliau sehubungan itu memberitahu bahawa pihaknya melalui Team Kasih Umat bersedia membantu rakyat Malaysia bagi meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dengan membuat penghantaran barangan dapur pada Ahad.
"Pohon doakan ye. Bantuan barang dapur buat seluruh Malaysia. Sedih sayu berat ujian kita semua di Malaysia. Menangis baca berita-berita di Malaysia orang bunuh diri," kata Ebit Lew melalui Facebooknya.
Mengulas lanjut katanya, sumbangan tersebut akan disampaikan tanpa mengambil kira latar belakang bangsa atau agama.
"Bantuan diberikan tanpa mengira bangsa atau agama. Kita semua sebuah keluarga. Team Kasih Umat di seluruh Malaysia akan membantu. Esok (Ahad) mereka hantar setakat yang mampu," katanya yang turut menyertakan nombor telefon yang boleh dihubungi di setiap negeri.
Hantaran tersebut turut mendapat sokongan dan doa daripada orang ramai daripada pelbagai bangsa yang menyokong usaha Ebit Lew.
Lyana Adriean menulis,"Penat balik dari Palestin belum hilang lagi. Ustaz dah mula fikirkan nasib rakyat Malaysia. Masya ALLAH. Alhamdulillah, Malaysia ada seorang Ustaz yang sangat prihatin akan nasib rakyat. Tanpa mengira bangsa dan agama. Moga panjang umur murah rezeki dan diberi kesihatan yang baik buat Ustaz sekeluarga. Welcome back our hero!"
Jason Kan CL pula berkata,"Terima kasih UEL (Ustaz Ebit Lew). You are Malaysian hero. Salute."
Sehingga kini, hantaran itu mendapat 192,000 sukaan, 7,100 komen dan dikongsi sebanyak 38,000.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pendakwah terkenal itu selamat tiba di Malaysia selepas selesai menjalankan misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin pada Jumaat
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang selalu mendoakan kesejahteraan dan keselamatan beliau dan kumpulannya sepanjang menjalankan misi tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew selamat tiba di Malaysia