[WAWANCARA] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak termakan dakyah golongan antivaksin.
Jelas beliau, kerajaan mahu memastikan kesihatan seluruh rakyat terpelihara dan tidak mempunyai sebarang niat lain.
"Kalau Mok Teh, Mok De nak minum air kelapa, air zamzam, makan habbatus sauda, atau apa sahaja herba, silakan.
"Tapi pastikan daftar dan hadir untuk vaksinasi. Ini ikhtiar kita dalam melawan pandemik Covid-19 yang disepakati majoriti ulama di seluruh dunia,” kata beliau dalam Wawancara Bersama Sinar Ahad.
Zulkifli turut mengupas dua isu paling hangat di Malaysia sekarang iaitu insiden bunuh diri dan kempen bendera putih.
SINAR AHAD: Akhir-akhir ini insiden bunuh diri semakin menjadi-jadi. Apakah nasihat Datuk Seri dan bagaimana kita boleh mengatasi masalah kesihatan mental ini?
DR ZULKIFLI: Ibu bapa dan keluarga terdekat perlu memberi sepenuh sokongan kepada pesakit mental.
Antara yang boleh diusahakan adalah menambah ilmu pengetahuan berhubung kesihatan mental, memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada mereka, tidak meminggirkan mereka sama sekali dan"mengkeluargakan mereka” dalam aktiviti seharian terutamanya ibadah dan hubungan sosial.
Kepada mereka yang diuji dengan masalah kesihatan mental, kami mendoakan semoga anda terus tabah dan sabar menjalani musibah yang melanda.
Elakkan sebarang bisikan atau lintasan untuk melakukan perkara yang negatif. Yakinlah dengan firman-Nya:
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah al-Syarh: 5-6)
Ibn Rajab al-Hanbali meninggalkan kepada kita satu pesanan yang cukup terkesan tentang betapa pentingnya bersabar dalam menempuhi kesukaran hidup.
Menurutnya:"Jika kesempitan itu semakin berat dan sukar, seorang hamba akan berputus asa. Demikianlah keadaan makhluk yang tidak mampu menyingkap keluar daripada kesukaran. Dan dia menggantungkan hatinya kepada Allah SWT semata-mata.
"Inilah hakikat tawakkal kepada Allah SWT. Inilah yang menjadi sebab-sebab terbesar untuk tercapainya hajat-hajat. Ini kerana Allah SWT akan mencukupkan orang yang bertawakkal kepada-Nya.
"Firman Allah SWT: ‘Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/493).
Pakar kesihatan mental dan agamawan juga perlu sentiasa duduk semeja bagi memperkukuh usaha-usaha rawatan dan pemulihan.
Kaedah rawatan yang tepat daripada pakar dan pendekatan kerohanian yang sesuai daripada agamawan adalah salah satu inisiatif yang mungkin boleh difikirkan dari sudut psikospiritual Islam.
Minggu ini timbul polemik berhubung kempen bendera putih. Ada sesetengah ahli agama berpendapat perkara itu tidak wajar dilakukan kerana ia menunjukkan umat Islam telah berputus atas. Apa pandangan Datuk Seri?
Apa yang lebih mustahak ialah semua pihak perlu mencari kaedah terbaik bagi memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan sasar.
Bukan masanya untuk kita bertelagah tentang boleh atau tidak mengangkat bendera.
Saya tidak kata ia betul atau salah. Kita tidak perlu larut dan hanyut dengan isu sehingga tanggungjawab sebenar untuk memastikan ada makanan di setiap meja dalam rumah, terabai.
Ketika negara bersungguh-sungguh menjalankan program imunisasi Covid-19, masih wujud golongan antivaksin termasuk ahli agama sendiri yang menghasut masyarakat supaya tidak mengambil vaksin. Apa komen Datuk Seri?
Perbezaan pandangan sentiasa wujud selagi adanya manusia, namun apa yang penting adalah kaedah mengurus perbezaan tersebut.
Saya lebih suka jika kelompok yang menolak vaksin dapat bersama-sama memahami isu vaksin ini dengan lebih berhati-hati dan terperinci berpandukan sumber yang berautoriti.
Bukan hanya berpandukan blog, YouTube dan sebaran WhatsApp yang tidak diketahui sumbernya.
Al-Imam al-Tabari ketika menghuraikan maksud fatabayyanu (maka kalian selidiklah!) dalam Surah al-Hujurat ayat 6 dengan menyatakan,"perlahan-lahan sehingga kalian ketahui kesahihannya, jangan tergesa-gesa menerimanya.”
Mengapakah mereka terlibat sebagai kumpulan antivaksin?
Saya bersangka baik, mereka ada semangat yang tinggi dalam mengamalkan agama sepenuhnya dalam hidup, tetapi apa yang lebih penting adalah ilmu bagaimana untuk mengamalkan agama. Akhlak dan adab juga adalah elemen yang penting.
Keputusan hukum berkenaan vaksin ini bukan dibuat oleh seorang dua ulama di Malaysia tetapi majoriti ulama di seluruh dunia dan badan-badan fatwa yang berautoriti berdasarkan hasil kajian demi kajian dengan kerjasama para saintis.
Jika hal ini difahami dengan baik, tenang dan tidak bermula dengan sangkaan buruk, saya yakin isu ini boleh diterima dengan baik.
Pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk memberi kefahaman yang lengkap berkenaan isu ini.
Bagi kami di pihak agensi agama, banyak yang telah dan sedang dilaksanakan.
Antaranya penerangan melalui Forum Perdana Ehwal Islam, khutbah Jumaat, ceramah, penulisan buku (Soal Jawab Fiqh Covid-19) dan majalah (Hukum Pengambilan Vaksin Covid-19, Isu Penjarakan Fizikal Dalam Solat di Masjid dan Surau; serta Takut Allah atau Takut Covid-19?) Kesemuanya boleh dimuat turun secara percuma di www.mira.gov.my. Kami juga ada bekerjasama dengan pendakwah selebriti bagi menyebarluaskan lagi kempen kesedaran vaksinasi melalui Twitter, Instagram dan TikTok.
Apakah nasihat Datuk Seri kepada mereka yang telah termakan hasutan daripada kumpulan antivaksin ini?
Kerajaan tidak ada niat lain melainkan untuk memastikan maslahah rakyat secara umumnya terpelihara.
Para ulama dan mufti kita juga semuanya ikhlas berhempas pulas membuat kajian dan perbincangan untuk memastikan usaha membina imuniti kelompok berhasil melalui vaksinasi.
Kalau Mok Teh, Mok De nak minum air kelapa, air zamzam, makan habbatussauda, atau apa sahaja herba, silakan. Tapi pastikan daftar dan hadir untuk vaksinasi.
Ini ikhtiar kita dalam melawan pandemik Covid-19 yang disepakati majoriti ulama di seluruh dunia.
Datuk Seri boleh ulas sedikit tentang agama Islam di negara ini yang dilihat dipermainkan oleh individu tertentu, terbaharu kalimah takbir diubah menjadi ‘take beer’.
Apa jua isu yang timbul boleh diselesaikan dengan baik jika ia tidak dimanipulasi untuk tujuan tertentu.
Kita kena faham, pihak yang memprovokasi sudah pasti bertindak sedemikian bagi mencetuskan kemarahan dan tindak balas kelompok lain.
Sekiranya kita memberi reaksi yang keterlaluan, itu sudah akan"modal” bagi pihak tersebut untuk menyatakan, inilah ajaran Islam!
Terima dan urus persepsi, provokasi dengan bijak. Usah jadikan nilai diri kita seperti pihak yang memprovokasi atau lebih rendah daripada itu.
Negara kita ada undang-undang dan kita yakin akan kebijaksanaan pihak berkuasa.
Program Mus’adah 1.0 dan 2.0 telah mengagihkan sejumlah RM522 juta ke seluruh Malaysia dan RM3.3 juta kepada Palestin. Boleh Datuk Seri jelaskan lebih lanjut?
Banyak pihak terkejut dengan angka yang saya nyatakan baru-baru ini tetapi saya ingin jelaskan, dengan kerjasama yang jitu oleh agensi-agensi agama peringkat Persekutuan, apa jua yang dihasratkan akan berhasil.
Alhamdulillah, kami mengagihkan bantuan ke seluruh Malaysia sejak 18 Mac 2020 tanpa henti sehingga hari ini.
Agihan bantuan ini adalah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil dan monitor ICU, ventilator dan peralatan perubatan lain), projek baik pulih dan bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya.
Bantuan diberikan kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara merentasi agama dan bangsa.
Musa’adah 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah inisiatif kecil daripada pihak kami sebagai pelengkap kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi daripada kerajaan yang berjumlah RM340 bilion kepada rakyat Malaysia.
Bagi Mus’adah 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sempena Sekatan Pergerakan Penuh, saya menyasarkan bantuan yang lebih giat untuk diagihkan ke seluruh Malaysia di samping kelompok sasar terbaharu iaitu rakyat Palestin di Malaysia dan di bumi Palestin.
Kami peruntukkan RM550,000 bantuan sekali beri (one-off) kepada keluarga Palestin di Malaysia, RM1 juta kepada para pelajar Palestin dan Syria di universiti tempatan terpilih, RM1.4 juta untuk NGO-NGO terpilih yang mengusahakan bantuan terus ke Palestin dan lain-lain.
Saya mahu masyarakat tahu ke mana perginya zakat, infaq, wakaf dan lain-lain yang disumbangkan kepada agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya. Semuanya saya laporkan dalam Kad Laporan Bulanan kami.
Masih ada pihak yang tidak puas hati mengenai larangan solat Jumaat ataupun langkah mengehadkan bilangan jemaah semasa PKP. Mereka kata kerajaan berdosa. Apakah penjelasannya?
Keputusan pihak berkuasa agama negeri dan Persekutuan mengehadkan solat Jumaat adalah berdasarkan ijtihad ulama dan para mufti yang bersandarkan fakta serta hujah.
Pandangan Ashab Al-Samahah Mufti-Mufti kita adalah ijtihad mereka.
Ini bukan ijtihad individu tapi diputuskan secara kolektif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam. Kemudian diperkukuhkan lagi dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri masing-masing yang telah disembah maklum kepada baginda sultan dan raja negeri masing-masing.
Tidak timbul dosa di pihak mufti dan kerajaan, apatah lagi orang awam. Ijtihad ini dibina atas dalil dan hujah.
Dalam majalah Al-Bayan Isu Penjarakan Fizikal Dalam Solat di Masjid dan Surau keluaran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya senaraikan sebahagian para ulama dan badan fatwa dunia yang mempunyai ijtihad yang sama.
Palestin, Turki, Indonesia dan sekalian negara Islam menetapkan penjarakan fizikal dalam solat. Malah ia juga dilaksanakan di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Maklumat yang diperoleh oleh para ulama dan mufti kita bukan daripada YouTube, WhatsApp tetapi maklumat primer. Jika ia salah pun, ia adalah ijtihad yang kukuh kerana ia ijtihad yang bersifat jama’i (berkumpulan). Majoriti ulama bersepakat.
Ada segelintir dalam masyarakat yang memaksa masjid dan surau dibuka seluas-luasnya kerana bagi mereka, penutupan sementara dan mengehadkan kapasiti masjid dan surau ini seolah-olah menutup rahmat Allah. Masjid dan surau perlu dibuka dan diadakan doa munajat beramai-ramai.
Jika mereka mengambil masa untuk bertenang dan meneliti huraian para ulama dalam isu ini, saya pasti ada banyak manfaatnya. Ibnu Hajar al-Asqalani mengkritik amalan berkumpul dan berdoa beramai-ramai yang dilakukan oleh warga Damsyik ketika wabak taun di sana pada tahun 749 Hijrah.
Malah selepas amalan tersebut diadakan, wabak taun merebak dengan lebih dahsyat selepas itu.
Umum juga tahu kes jemaah bersolat dalam gelap di masjid, menyembunyikan selipar, mengabaikan SOP selepas solat, mengakibatkan banyak kes positif baharu wujud.
Solat, doa dan bermunajatlah di rumah masing-masing bersama keluarga. Insya-ALLAH pahala berjemaah tetap ada.
Sampai masanya, masjid dan surau tetap akan dibuka seperti biasa. Semua sayangkan rumah ALLAH, namun jika makin ramai yang dijangkiti jika SOP diabaikan, siapa lagi yang tinggal untuk mengimarahkannya?
Setakat ini hanya jemaah yang disuntik vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan fardu haji. Bagaimana dengan vaksin Sinovac?
Kita akan berbincang dan berunding dengan Arab Saudi untuk mempertimbangkannya. WHO baru sahaja mengiktiraf Sinovac.
Para ulama Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duali di bawah OIC juga mengiktirafnya.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa semua vaksin yang diiktiraf WHO seperti Pfizer, AstraZeneca, Moderna, Johnson & Johnson, Sputnik, Sinovac dan Sinopharm adalah selamat digunakan.
ANEKDOT
Sekeluarga khatam al-Quran sepanjang lockdown
Semasa menjawat jawatan mufti, saya gemar menulis dan membaca pada waktu lapang.
Tetapi sejak diamanahkan sebagai menteri, ia bertambah kepada satu lagi aktiviti iaitu turun ke lapangan.
Sejak mula dilantik, saya telah turun dari Perlis hingga ke Sabah untuk mengagihkan bantuan. Saya seorang Senator, tidak ada kawasan khusus.
Jadi, saya anggap kawasan saya adalah seluruh Malaysia. Bantuan diagihkan seadilnya di setiap kawasan Parlimen dan DUN.
Saya juga pastikan ada masa untuk bersama keluarga. Sebagai ‘familyman’, keluarga adalah segala-galanya bagi saya.
Setiap hari selepas Maghrib, saya akan kumpulkan anak-anak dan isteri, baca al-Quran sama-sama dan berbincang tentang ayat-ayat al-Quran terpilih.
Alhamdulillah sepanjang lockdown, kami dapat khatamkan al-Quran.
Anak kampung jadi mufti dan menteri
Dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada 2014 dan sebagai menteri pada 2020 adalah peristiwa penting dalam hidup saya.
ALLAH berikan saya peluang untuk menterjemahkan apa yang diteorikan selama ini kepada realiti. Ia juga peluang kepada saya untuk memberikan sumbangan sebaik mungkin kepada ummah. Saya cuma anak kampung dari Terengganu, yang satu ketika dahulu ada cita-cita yang besar untuk mengubah diri dan masyarakat.
Banyak yang saya belajar sepanjang menjawat jawatan sebagai mufti dan menteri. Banyak kenangan manis, lucu, menyedihkan dan menggembirakan.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)