TIGA acara - badminton, terjun dan lumba basikal (trek) berpotensi untuk menyumbang pingat buat kontinjen Malaya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, barisan atlet negara yang bertanding dalam ketiga-tiga acara tersebut sekali lagi diramal mampu menjadi prospek terbaik untuk menghadiahkan pingat.
Menurutnya, ia bersandarkan kepada pencapaian dalam temasya Olimpik sebelum ini yang menyaksikan Malaysia meraih 11 pingat secara total menerusi acara badminton, terjun dan lumba basikal (trek).
Bagaimanapun, Zolkples memberitahu, temasya Olimpik kali ini bakal berlangsung dengan suasana cukup berbeza berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lalu.
"Pada kebiasaannya, semua negara akan menghantar atlet-atlet terbaik ke Olimpik. Tetapi dengan pandemik Covid-19 ketika ini, kita tidak tahu atlet mana yang akan menyertai Olimpik tahun ini.
"Mungkin ada yang tak sertai Olimpik Tokyo terutamanya ‘mat saleh’ yang begitu menitikberatkan soal kesihatan mereka. Lagi pun, bagi mereka Sukan Olimpik hanyalah satu pertandingan dan ada banyak lagi kejohanan yang boleh disertai.
"Secara tidak langsung, situasi itu akan memberikan peluang dan harapan kepada atlet-atlet negara kita untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik kali ini.
"Secara peribadi, saya masih meletakkan atlet dalam acara badminton, terjun dan lumba basikal (trek) sebagai prospek untuk menyumbang pingat tanpa mengira warna apa sekalipun,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan seramai 30 atlet negara bakal beraksi dalam 10 acara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal bermula kurang tiga minggu lagi.
Skuad badminton menampilkan lapan pemain diikuti terjun (lima); pelayaran (empat) memanah (dua); olahraga (dua); lumba basikal (dua), golf (dua); gimnastik (dua) dan renang (dua) manakala menembak diwakili seorang atlet.
Tumpuan pastinya terarah kepada jaguh badminton negara, Lee Zii Jia manakala terjun (Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong) dan lumba basikal trek (Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom) bagi menyumbang pingat.
Dalam pada itu, Zolkples berharap prospek pingat termasuk kesemua atlet negara yang bertanding pada Olimpik kali ini tidak diberikan tekanan berlebihan sehingga menjejaskan prestasi mereka.
"Tak semua atlet boleh diletakkan harapan untuk memenangi pingat kerana bagi sesetengah mereka, melayakkan diri sudah dikira satu percapaian yang sangat baik.
"Bagi sukan atau acara yang mempunyai catatan, masa, jarak atau ketinggian, mereka sekurang-kurangnya dapat meletakkan sasaran untuk mencatatkan pencapaian peribadi terbaik atau berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
"Apa yang penting ketika ini adalah untuk bersiap sedia secukupnya kerana persediaan kita juga bergantung kepada lawan yang akan ditentang pada Olimpik nanti,” ujarnya.