MELAKA - [DIKEMASKINI] Umno dan Pas boleh bersatu semula sebagai adik-beradik, untuk mengejar matlamat menegakkan Islam dan penyatuan bangsa Melayu tanpa membentuk sebuah parti gabungan.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kedua-dua parti orang Melayu terbesar ini berjuang mengikut cara dan kaedah masing-masing namun pada masa yang sama memfokuskan kepada satu matlamat.
"Sejak sekian lama, Umno dan Pas sering berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi perjuangan kedua-dua parti tetap sama iaitu mempertahankan maruah dan kepentingan umat Islam serta Melayu.
"Lantaran itu, kedua-dua parti ini perlu bersatu semula sebagai adik-beradik, kita hilang kekuatan kerana kita berpecah-belah jadi mulai sekarang kita berjuang dengan cara masing-masing tapi matlamat kita tetap satu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin pada ceramah perdana anjuran bersama Pas dan Umno Melaka bertajuk ‘Islam Memimpin’ di Dewan Muallim Bukit Katil di sini malam tadi.
Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam ceramahnya berkata, meskipun Pas membuat keputusan untuk tidak membentuk gabungan dengan Umno namun kedua-dua parti itu akan tetap bekerjasama bagi memastikan kesinambungan perjuangan orang Melayu dan umat Islam.
Jelasnya, gabungan antara Pas dan Umno tidak mungkin berlaku kerana menganggap kedua-duanya sebagai parti adik-beradik.
"Kita adik-beradik memang tidak boleh 'bernikah' tetapi apa yang penting kita bekerjasama demi satu matlamat. Jadikan pertemuan demi pertemuan untuk mengembalikan kekuatan penyatuan ini,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu begitu ketara pada PRU14 Mei tahun lalu.
Katanya, orang Melayu dan umat Islam mudah berpecah-belah, sebagai contoh sekiranya berpecah kepada lima maka akan ada lima parti.
"Lebih menyedihkan, ada generasi muda yang kurang memahami sejarah negara dan memilih parti lain hanya kerana marah kepada Umno dan Pas, jadi mereka membuat pilihan yang salah.
"Islam jadi titik menyatukan kita semua. Dengan cabaran yang mendatang kini kita perlu bersatu. Benci atau berkelahi ada batasnya, boleh jadi orang itu jadi sahabat kita suatu hari nanti. Lebih lagi dalam Islam kita semua adalah bersaudara,” katanya.