PROSES berkarya dimulai dengan mendapat lintasan idea atau ilham, biasanya menemukan subjek atau persoalannya.
Plotnya akan dibangunkan, di samping menimbang-nimbang kehadiran protagonis dan antagonisnya.
Kemudian pengarang akan menentukan pilihan sudut pandangnya, melalui orang pertama atau manusia maha tahu.
Gaya bahasa dan stail akan datang sendiri secara naluriahnya. Biasanya aspek paling akhir yang difikirkan pengarang ialah latarnya.
Hasil penyelidikan proses kreatif menunjukkan pengarang kurang mengambil kepedulian terhadap pelukisan latar.
Perhatiannya lebih tertumpu kepada aspek tema, plot dan watak. Seolah-olah fungsionalisasi latar tidak sepenting aspek pembinaan karya yang lainnya.
Konsekuensinya pencitraan latar hanya ala kadarnya, dan hampir-hampir terabai peranannya. Sikap beginilah yang mengurangkan darjat teks dan nilai karya.
Tugas latar adalah untuk menjelaskan di mana dan bila peristiwa terjadi.
Dalam kalangan teori sosiologi, latar adalah imajan tentang suasana masyarakat, mencitrakan konteks sosial dan status quo.
Teori sejarah, senario tentang konsep masa dan ruang sebagai indikator zaman. Teori psikoanalisis pula, gambaran imaginasi dan fantasi, meski bersifat utopia, tetapi memberikan jejak futuristik untuk lekat pada keyakinan khalayak.
Tegasnya, fungsionalisasi latar tidak sekadar hiasan, tetapi aspek yang menjadikan sesebuah karya itu hidup, menarik dan cepat menggoda.
Tempat kejadian dilukiskan dengan rincinya, dan masa dijelaskan waktu kejadiannya.
Latar masyarakatnya berhasil mewujudkan suasana kehidupan, dan latar budaya memperjelaskan pandangan hidup.
Sebagai contoh, kajian kontekstual terhadap latar sastera Melayu dekad 1960-an, akan mendapat gambaran dan wajah masyarakat Melayu dekad itu.
Hasil kajiannya, menjelaskan tentang masyarakat Melayu, yang masih terpinga-pinga, terpesona dalam pelukan keindahan, baru sahaja menerima detik-detik kemerdekaan.
Kehidupannya masih dipeta oleh kepiluan, dibalut kemiskinan dan diikat oleh kemelut kemunduran, sebagai sinambungan kesan penjajahan.
Sensitiviti
Kemampuan menulis latar dengan baik, menurut teori sastera perjalanan sangat bergantung kepada pengalaman hidup.
Disarankan, supaya pengarang melakukan pengembaraan, melancong dan berziarah. Mata penanya akan tajam melukiskan suasana dan situasi di negara-negara yang baru dikunjunginya.
Mereka yang kikir dan muflis pengalaman, tidak akan mampu melukiskan latar dengan sempurna.
Dia harus menjalani lorong-lorong dan memasuki ke segenap denai-denai kehidupan untuk mengenal budaya, justeru semuanya itu akan menjadi bahan latar dalam karyanya.
Kekuatan karya Sasterawan Arena Wati dan Anwar Ridhwan, justeru tajamnya sensitiviti penguasaan latarnya, dapat melukiskannya bukan sahaja indah, tetapi tepat dan teliti.
Dibantu dengan bahasa yang kuat, deskripsi latarnya hidup dan autentik serta menawan.
Pengarang seharusnya menguasai konsep latar pada sesuatu zaman.
Sebagai contoh, kita meneliti pelukisan latar 1960-an, menarik untuk dikenang kerana ia mengandungi suka duka dalam negara yang baru mencapai kemerdekaan.
Bayangkan, selama 446 tahun negara dijajah, kesakitan sejarah mencengkam seluruh urat saraf bangsa.
Dekad itu, ramai penulis muncul dalam pelbagai genre. Dengan cepat cerpen dan novel berkembang seiring dengan penulisan sajak dan drama.
Pertentangan nilai antara budaya desa dan kota menjadi bahan tematik utama, memperlihatkan taraf kemiskinan dan mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya.
Sembilan puluh peratus Melayu tinggal di desa. Bertani atau nelayan. Dengan cepat kerajaan membuka peluang pelajaran, membina sekolah dan merancang pembinaan universiti.
Demokrasi menyediakan banyak ruang dengan tertubuhnya pelbagai partai politik. Ramai tokoh muda ketika itu menceburkan diri dalam bidang kepemimpinan.
Selain menjadi pemimpin kecil di kampung atau pemimpin besar di kota, mereka belajar mentadbir negara dan berjuang untuk memperbaiki kehidupan masyarakat Melayu.
Filem
Melayu terkenal sebagai bangsa yang gemarkan hiburan. Gaya kehidupan dekad 1960-an dibayangi oleh filem-filem Melayu yang datangnya daripada Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris.
Tergoda juga dengan filem Hindustan dengan Dhilip Kumar, Raj Kapoor, Dev Anand, Rajendra Kumar, dan paling popular ialah Shammi Kapoor; seniwatinya ialah Madhubala, Mina Kumari, Saira Banu dan Sharmila Tagore.
Nyanyian yang melatarinya, suara Muhammed Rafi dan Lata Mangeshkar setiap hari berkumandang di corong radio.
Filem Barat membariskan bintang John Wayne, Charlton Heston, Yul Brynner, Rock Hudson dengan Marilyn Monroe, Elizabeth Taylor, Ava Gardner, Sophia Loren dan Claudia Cardinale menjadi pujaan.
Dekad 1960-an itu kelahiran genre spaghetti western yang dipelopori oleh Sergio Leone dan Sergio Corbucci dengan Clint Eastwood, Franco Nero dan Giuliani Gemma, yang diiringi musik sususnan Ennio Morricone yang sungguh menawan.
Sementara, siri filem James Bond lakonan Sean Connery, adalah lebih hebat dan memikat.
Nyanyian Elvis Presley, Cliff Richard dan Frank Sinatra serta kumpulan the Beatles menjadi siulan. Dekad itu juga Pop Yeh Yeh mencari jejaknya dengan A. Ramlie, Jefrydin dan L. Ramlee.
Di tengah-tengah pengisian kemerdekaan itu, Melayu selalu kehilangan dirinya. Negara ini adalah tumpah darahnya, semacam terlepas daripada genggaman tangannya.
Kemunduran ekonomi masih menggelegar sedangkan kemajuan pendidikan baru bersinar, tiba-tiba kuasa politiknya hampir tercicir, dan terjadinya peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Begitulah, latar menawarkan warna kehidupan, rakaman identifikasi zaman dan sumber rujukan.
Seandainya, pengarang tidak menyediakan latarnya dengan baik, sempurna dan rinci, akan berlaku kelompongan dan kekosongan. Karyanya akan kehilangan seri, kelam dan hambar.
Sesungguhnya, latar mendukung deskripsi tentang informasi warna budaya dan wajah kehidupan.
Betapa banyaknya karya sastera yang dikagumi kerana kejayaan pengarangnya berhasil menyediakan pelukisan latarnya.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia