SEJAK seminggu lalu, perkembangan politik tanah air nampaknya kembali bergolak, cuma yang tidak berubah adalah kita masih bertarung nyawa memerangi pandemik.
Ketika Covid-19 masih menular, ada segelintir pemimpin masih menikmati keseronokan dalam 'kapal mewah’ dan bermain dengan kuasa dimiliki.
Namun, majoritinya berada dalam sampan menghadapi gelombang lautan. Ada yang hanya tinggal pengayuh di tangan dan ada juga kehilangan segala-galanya.
Sama ada mampu berenang sampai ke tepian pantai, hanya Tuhan yang mampu mengetahui nasib hidup mereka.
Ketika rakyat bertungkus-lumus mencari nafkah hidup, episod perebutan kuasa pula sedang rancak berlangsung.
Peperangan menentang Covid-19 adalah usaha daripada orang perseorangan, keluarga, syarikat, kerajaan hingga seluruh negara.
Mana-mana pihak yang melakukan kegagalan, selagi itulah kita semua terus terheret dalam peperangan itu tanpa kesudahannya.
Sebagai bukti, Taiwan yang sebelum ini dipuji kerana keberkesanannya membendung Covid-19 dan keadaan United Kingdom yang dikatakan sudah beransur pulih, hari ini kita nampak rakyat kedua-dua negara itu kembali hidup dalam ketakutan.
Tidak banyak negara yang mampu mendabik dada telah mengalahkan Covid-19. Agaknya kita perlu meneruskan hidup bersama Covid-19.
Covid-19 telah berubah menjadi pelbagai varian baharu. Sebaliknya, manusia tidak tahu berubah dan tidak mahu berubah.
Manusia terus dikongkong oleh sikap tamak haloba, hasad dengki, sombong, pentingkan diri sendiri dan sebagainya.
Apabila kita mendepani musuh yang sama iaitu Covid-19, malangnya masih ramai mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan majlis keraian.
Mereka melihat kebebasan itu lebih penting daripada nyawa sendiri.
Sekiranya rakyat masih pentingkan diri dan tidak takut mati, sudah tentu kerajaan tidak mampu terus menghulurkan bantuan sepanjang masa.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya tidak ada kerajaan yang stabil dan berkesan, dengan pemimpin terus berebut kuasa, pertarungan dengan Covid-19 akan berlarutan.
Banyak kilang tentunya terpaksa ditutup, rakyat bertambah miskin, malah ada yang kehilangan nyawa.
Mengikut laporan, dalam tempoh 16 bulan lalu, hampir 20 hingga 30 peratus premis perniagaan dalam pusat beli-belah ditutup sehingga menyebabkan 300,000 pekerja hilang pekerjaan.
Pada masa sama, ancaman beberapa varian seperti Delta dan Delta+ pula dilaporkan semakin serius.
Sekiranya berlaku gelombang baharu, seberapa banyak pelan pemulihan negara atau pakej perangsang ekonomi diberikan kerajaan pun tidak mampu membantu.
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telah menitahkan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Ramai mendakwa Perdana Menteri mahu melengah-lengahkan masa mengadakan sidang Parlimen.
Sebenarnya terdapat seorang lagi individu penting untuk memberikan pandangan sama ada sidang Parlimen sesuai dibuka atau tidak.
Beliau ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau bukanlah orang politik tetapi boleh memberikan cadangan berdasarkan situasi pandemik dan kesihatan.
Ketika dalam proklamasi darurat, pandangan beliau perlu diberi perhatian serius.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya menghadapi tekanan amat berat. Beliau akan menghadapi masalah sekiranya gagal menangani dengan baik.
Ketika ini kita mendapati UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang menggulingkan kuasa pemerintahan Muhyiddin.
Bagaimanapun, pergolakan politik ini tetap tidak akan ditamatkan biarpun Muhyiddin dijatuhkan kerana tiada sebuah parti atau gabungan politik pun mampu membentuk sebuah kerajaan kuat dan stabil.
Sekarang bukan masa sesuai berebut kuasa disebabkan pandemik masih bahaya dan ekonomi dalam kedudukan meleset.
Dengan membiarkan penularan Covid-19 dan perebutan kuasa antara pemimpin politik tanpa noktah, seluruh rakyat Malaysia pasti akan menjadi mangsa dan terpaksa membayar harga yang mahal.
* Kuik Cheng Kang ialah Ketua Pengarang Sin Chew Daily