SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengoperasian pejabat kerajaan di negeri yang berada pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR) menggunakan lima pendekatan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pendekatan tersebut menetapkan kehadiran di pejabat tidak melebihi 40 peratus bagi keseluruhan kakitangan dan 60 peratus BDR secara penggiliran.
Bagaimanapun menurutnya, arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.
"Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaannya.
"Selain itu, perkhidmatan kaunter dibuka tertakluk seperti arahan pada 29 Jun iaitu kapasiti petugas di kaunter tidak melebihi 50 peratus.
"Kehadiran ke pejabat juga perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja. Semua yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, arahan tersebut terpakai bagi mana-mana negeri yang beralih ke PPN Fasa Dua.
Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lima negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan memasuki fasa dua PPN berkuatkuasa 5 Julai ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima negeri masuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara