SHAH ALAM - Manulife Malaysia melancarkan pelan penyakit kritikal baru yang dipanggil ‘Advance Beyond Critical Cover’ (ABCC) yang memberikan liputan holistik dari peringkat awal diagnosis hingga prosedur selepas rawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Insurance Berhad, Vibha Coburn berkata, ABBC merupakan pelan kritikal yang komprehensif apabila pelanggan boleh memberi tumpuan kepada proses pemulihan tanpa perlu risau terhadap potensi kehilangan pendapatan.
"Pandemik ini telah meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan di kalangan rakyat Malaysia, dengan ramai orang menerapkan gaya hidup lebih sihat dan mencari produk insurans baharu.
"Ketika kami mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan kami, Manulife komited untuk memberikan solusi perlindungan insurans terbaik, sesuai dengan tuntutan perubahan zaman, sambil memberikan ketenangan kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut kata beliau, ABCC adalah lanjutan dari siri Melebihi Perlindungan Kritikal (Beyond Critical Cover), pelan Manulife terlaris, merangkumi penyakit atau kemalangan yang memerlukan kemasukan ke hospital.
Jelasnya, pelan kritikal yang dinaik taraf itu juga memberi manfaat dalam penyakit kritikal pelbagai peringkat, kemasukan hospital, rawatan kanser, penjagaan kurang upaya serta faedah khas.
"Jumlah pembayaran faedah di bawah ABCC adalah sehingga 265 peratus dari jumlah nilai yang dibayar setelah polisi matang, menjadikannya rancangan yang benar-benar komprehensif dan holistik,” jelasnya.