JEMPOL - Gelagat spontan seorang kanak-kanak perempuan yang menyanyikan lagu ‘PKP Datang Lagi’ sambil melakukan solekan terhadap wajah seorang kanak-kanak lain, mencuit perhatian warganet apabila ia tular sehingga ditonton lebih dua juta kali di laman sosial termasuk Tik Tok.
Keletah comel adik, Nur Medina Irene Mohd Firdaus, 6 nampak bersahaja, sehinggakan video yang dimuat naik oleh salah seorang saudaranya menerusi aplikasi Tik Tok tular.
Ibu kanak-kanak tersebut, Nor Riha Wagimun, 33 berkata, dia tidak menyangka video genit anak tunggalnya itu tular sehingga ke media sosial.
"Saya sendiri tak sangka video nyanyian lagu 'PKP Datang Lagi' oleh Medina tular sehinggakan semalam kami berdua diwawancara dalam program Wanita Hari Ini di TV3 bagi topik, selebriti media sosial.
"Medina memang seorang anak yang sangat cerdik dan menghiburkan, bakatnya adalah semula jadi, cara dan gayanya juga adalah spontan.
"Saya sendiri tidak menyangka semua video Medina menjadi tular dan sejak itu Medina selalu menerima ucapan, doa dan kiriman hadiah daripada orang ramai," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, sejak Medina kehilangan ayahnya pada 16 Januari lalu akibat serangan jantung, dia lah yang menjadi penyeri dan peneman dalam hidup merkea berdua.
Jelas Noriha, Mediana memang menggemari aktiviti permainan solekan malah seorang lagi kanak-kanak di dalam video itu merupakan sepupunya yang sering menjadi ‘mangsa’ solekan Medina.
"Kadang kala dia solek muka sendiri dan ada kalanya dia menyolek muka sepupunya yang tinggal bersama kami.
"Sekarang ini di hanya belajar hanya di rumah, jadi selepas membuat kerja sekolah, dia tidak boleh keluar berjalan dan disebabkan itu dia mengisi aktiviti masa lapang dengan membuat video serta bermain bersama sepupunya,” katanya.
Menurut Noriha, selain membuat video solekan, Medina juga bijak dalam pelajaran, malah pernah membuat video latihan Matematik yang turut tular sehingga mendapat tontonan lebih 200,000 dengan lebih 5,000 perkongsian.