Keunikan durian sompo Lenggeng

Iklan
Zain menunjukkan isi buah durian sompo di gerainya di Kampung Rawa, Lenggeng.

SEREMBAN -Durian sompo atau digelar sebagai durian 'samsu' yang terdapat di Kampung Sompo, Lenggeng, di sini mempunyai keunikan tersendiri dengan duri yang agak panjang, bau yang lebih kuat dan rasanya dikatakan seperti tapai.

Pengusaha kebun durian, Datuk Zain Maarof, 57, berkata, durian itu merupakan antara spesies durian hutan dan hanya individu tertentu menggemarinya kerana disifatkan sebagai unik.

Iklan
Iklan

Katanya, durian itu kini sukar ditemui dan beliau mengambil inisiatif menanamnya bagi mengelakkan ia pupus.

"Saya ada tujuh ekar (2.833 hektar) kebun durian yang ditanam dengan 20 jenis durian dan salah satunya ialah durian hutan sompo.

Iklan

"Tapi durian ini tak ramai yang tahu dan suka kerana bau dia kurang enak dan rasanya kurang mantap berbanding durian-durian lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Zain menyusun buah durian yang dijual di gerainya di Kampung Rawa, Lenggeng.

Menurutnya, bagi yang tidak biasa makan buah durian ini, ia boleh menyebabkan rasa khayal dan sebab itu ia digelarkan sebagai durian samsu.

Iklan

Zain berkata, disebabkan pokok durian itu mempunyai imuniti yang kuat berbanding pokok durian biasa, ramai yang mencarinya untuk dijadikan sebagai pokok penanti.

"Biji durian itu nanti orang akan tanam dan apabila besar sedikit akan dikahwinkan dengan pokok durian lain bagi mendapatkan pokok yang lebih kuat.

"Soal penjagaan pokok durian sompo ini pun lebih mudah berbanding pokok durian lain,”katanya.

Beliau yang mempunyai gerai menjual durian di Kampung Rawa, Lenggeng berkata, walaupun tidak ramai yang suka akan durian sompo, namun ia tetap mendapat permintaan.

Katanya, pelanggan perlu membuat tempahan awal buah itu yang dijual dengan harga RM15 sekilogram.

Bunga durian sompo yang berwarna merah. Gambar kanan: Buah durian sompo yang masih kecil.

"Isi buah durian sompo ini pula agak tebal dan berwarna kuning. Bunga duriannya juga berbeza dengan durian lain kerana ia berwarna merah.

"Itulah uniknya durian sompo. Setakat dalam pengetahuan saya, terdapat lebih 100 jenis durian yang didaftarkan,” katanya.

Peminat durian hutan, Ishak Tamyes, 60, berkata, buah itu mempunyai rasanya tersendiri yang membuatkan peminat sanggup menunggu untuk merasainya.

"Saya sudah menempah beberapa hari sebelum ini untuk mendapatkan durian hutan ini.

"Tidak semua orang suka durian hutan sebab rasa dan bau dia tetapi kalau yang minat dia akan cari,” katanya