Sembunyi daun ketum di sebalik anak pokok kelapa sawit

Iklan
Ahmad Arifin (kiri) bersama anggotanya menunjukkan daun ketum yang dirampas di SJR Batu Melintang pada sidang media di Dewan Terbuka IPD Jeli pada Ahad. 
- Foto Bernama

JELI - Polis Kelantan mematahkan dua aktiviti penyeludupan daun ketum dengan nilai keseluruhan RM12,000, dalam kes berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini pada 2 dan 3 Julai.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Ahmad Arifin berkata, bagi kes rampasan pertama kira-kira jam 1.30 pagi pada Jumaat, pihaknya menemukan 100 bungkusan plastik hitam yang mengandungi satu tan daun ketum bernilai RM10,000.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, seorang lelaki berusia 28 tahun cuba menyeludup barangan larangan itu dengan menggunakan taktik menyembunyikannya dalam timbunan anak pokok kelapa sawit yang dibawa menggunakan sebuah lori.

"Polis menahan lori yang dipandu suspek terbabit kerana dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan terhadap lori itu yang datang dari arah Gerik-Jeli telah menemukan barangan berkenaan yang dipercayai untuk dipasarkan di beberapa daerah di Kelantan.

Iklan

"Suspek yang negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau itu direman bermula 2 Julai hingga esok," katanya pada sidang akhbar di dewan terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini pada Ahad.

Ahmad Arifin (kiri) bersama anggotanya menunjukkan daun ketum yang dirampas di SJR Batu Melintang pada sidang media di Dewan Terbuka IPD Jeli pada Ahad. - Foto Bernama

Sementara itu, dalam kes berasingan di lokasi SJR yang sama, kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Sabtu, seorang lelaki berusia 22 tahun turut ditahan selepas polis menemukan 20 bungkusan beg plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 200 kilogram yang bernilai RM2,000.

Iklan

Ahmad berkata, suspek terbabit yang memandu kereta jenis Proton Persona ditahan kerana merentas negeri tanpa memiliki surat kebenaran rentas negeri dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan barangan berkenaan dalam kenderaannya.

"Hasil ujian urin terhadap suspek mendapati negatif dadah dan dia direman bermula hari ini hingga 7 Julai.

"Kesemua bekalan daun ketum yang dirampas itu diperoleh dari Semenanjung utara untuk dipasarkan ke negeri ini. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, beliau berkata, enam lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan kerana memiliki 513 biji pil kuda, 12 gram syabu, tiga kilogram daun ketum dan 600 mililiter air ketum yang telah diproses dengan nilai keseluruhan RM6,380.

Katanya, kesemua individu berumur 30 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang khayal atau di bawah pengaruh dadah di kawasan pondok di Kampung Gemang Ayer Lanas pada Sabtu.

"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39A(1) akta yang sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. - Bernama