SHAH ALAM – Kerajaan digesa segera ‘mengiktiraf’ krisis kesihatan yang semakin parah di negara ini bukannya terus menyembunyikan kebenaran demi kepentingan politik.
Perkara itu disuarakan menerusi penggerak Projek #BangsaMalaysia iaitu inisiatif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Projek Wawasan Rakyat (POWR) dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kenyataan itu mendakwa bahawa Malaysia kini menghadapi krisis yang paling parah dan kerajaan tidak boleh lagi terus ‘menyembunyikan kepala dalam pasir’ dengan tidak bertindak secara serius.
Sebaliknya, kerajaan wajib mula mengiktiraf dengan lebih jelas dan terperinci tentang betapa parahnya situasi yang sedang dihadapi bagi mengelakkan sistem kesihatan negara berdepan keruntuhan total.
"Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengakui bahawa masalah itu wujud.
Di Malaysia, pihak berkuasa seolah-olah masih tidak mengakui masalah yang dihadapi.
"Budaya yang wujud selama puluhan tahun yang menyekat kebenaran, kini membahayakan jutaan nyawa rakyat Malaysia.
"Kerajaan secara konsisten membungkam suara penjawat awam, termasuk petugas barisan hadapan kesihatan dan menghalang mereka daripada mendedahkan betapa parahnya situasi sebenar yang kita hadapi,” kata kenyataan itu.
Justeru, kenyataan itu menambah, sekiranya benar bahawa pemerintah mengisytiharkan darurat untuk memerangi Covid-19 dan bukannya untuk melindungi kepentingan politik, kerajaan harus mula bertindak dengan gambaran bahawa situasi negara kini benar-benar dalam keadaan darurat.
Katanya, kerajaan perlu segera berterus terang secara telus mengenai keadaan di lapangan dan perhatian dasar harus diberikan kepada penyelesaian masalah, bukan menghukum pemberi maklumat.
"Kerajaan juga perlu segera melakukan libat urus dengan sektor penjagaan kesihatan swasta untuk terlibat secara konstruktif dan menggunakan peraturan kecemasan jika perlu bagi mengurangkan beban hospital awam.
"Perbelanjaan penjagaan kesihatan awam dalam jangka pendek dan jangka panjang juga perlu digandakan, sehingga kapasiti penjagaan kesihatan jangka panjang dapat ditingkatkan serta masalah seperti doktor kontrak dapat diselesaikan segera.
Peningkatan dana mesti disertai dengan pembaharuan yang sesuai dalam struktur organisasi Kementerian Kesihatan,” katanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan beberapa pendedahan video yang dipercayai ditularkan petugas barisan hadapan kesihatan menggambarkan tenatnya keadaan sistem kesihatan di negara ini.
Pendedahan berkenaan bagaimanapun dilaporkan dinafikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).