ATAMI - Pasukan penyelamat di tengah Jepun pada Ahad berhempas pulas melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran sehari selepas kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dahsyat susulan hujan lebat berterusan melanda bandar Atami, wilayah Shizuoka.
Pegawai kerajaan tempatan memaklumkan sekurang-kurangnya dua terkorban manakala kira-kira 20 dilaporkan masih hilang.
"Operasi SAR tersebut disertai kira-kira 1,000 anggota penyelamat termasuk 140 tentera.
Kami akan melakukan usaha sehabis baik untuk menjejaki mangsa yang mungkin terselamat walaupun berdepan kesukaran akibat cuaca buruk,” ujar jurucakap misi itu.
Ketika ini, kira-kira 2,800 kediaman di Atami turut terputus bekalan elektrik.
Stesen penyiar NHK melaporkan kira-kira 80 rumah tertimbus dan zon lingkungan tanah runtuh itu berlaku sejauh dua kilometer.
Datuk Bandar Atami, Sakae Saito mengesahkan kira-kira 300 terjejas akibat kejadian itu.
"Amaran pemindahan segera telah dikeluarkan kepada penduduk di Atami yang didiami 20,000 isi rumah supaya mencari tempat perlindungan lebih selamat.
"Bandar yang terletak kira-kira 90 kilometer di barat daya Tokyo itu telah mencatatkan taburan hujan 313 milimeter (mm) dalam tempoh 48 jam melepasi jumlah purata bulanan 242.5 mm pada Julai,” jelas laporan itu lagi.
Sementara itu, rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan aliran lumpur yang mengalir laju menghanyutkan kediaman dan harta benda penduduk.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Yoshihide Suga memberi amaran kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada jika berlaku insiden tanah runtuh susulan berikutan hujan masih melanda kawasan tersebut.
Sebahagian besar wilayah di Jepun kini dilanda musim hujan yang biasanya berlarutan selama beberapa minggu dan turut mencetuskan banjir kilat serta tanah runtuh yang memaksa pemindahan penduduk dilakukan.
Ketika ini, ratusan ribu penduduk di tiga wilayah; Shizuoka, Kanagawa dan Chiba diarahkan untuk berpindah setelah amaran banjir di kawasan daratan rendah dikeluarkan.
Kumpulan saintis mendakwa impak fenomena perubahan iklim yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini telah mencetuskan cuaca ekstrem hingga menyebabkan taburan hujan secara luar biasa. - AFP