Ibu tunggal kibar bendera putih demi anak

Iklan
Nor Waheda bersama anaknya terpaksa menumpang di rumah keluarga angkat yang terputus bekalan air di Taman Merdeka, Batu Berendam.

MELAKA - Seorang ibu tunggal nekad mengibarkan bendera putih selepas mereka sekeluarga terputus bekalan makanan susulan tidak bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nor Waheda A Rahim, 40, berkata, tindakannya itu kemudian disedari seorang anggota polis dari Balai Polis Daerah Melaka Tengah yang melalui kawasan rumahnya yang didiami bersama anak berusia 2, 9 dan 15 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, atas keprihatinan anggota polis itu, ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin yang datang ke rumahnya pada petang Sabtu.

Dia berkata, pada mulanya dia malu untuk menggantung bendera putih itu, namun terpaksa asalkan ada makanan untuk anak-anaknya di rumah.

Iklan

"Alhamdulillah, ramai hadir menghulurkan bantuan dan mengambil tahu kesusahan keluarga saya selama ini termasuk pihak Jabatan Ketua Menteri Melaka.

"Terima kasih diucapkan atas keprihatinan anggota polis itu yang membuat rondaan di taman ini dan ternampak bendera putih di rumah saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Merdeka Batu Berendam di sini pada Sabtu.

Iklan
Nor Waheda sekeluarga ketika menerima kunjungan Shoo Chin.

Waheda yang berasal dari Pasir Gudang, Johor, berkata, dia juga bersyukur apabila dimaklumkan akan berpindah ke rumah lain dalam masa terdekat termasuk ditawarkan bekerja sebagai tukang sapu di kawasan perumahan berkenaan.

Menurutnya, selama ini dia mendiami rumah keluarga angkat tanpa sebarang bayaran, namun tiada bekalan air dan elektrik.

"Saya memang terharu apabila dapat berpindah ke rumah lebih baik dan selepas ini saya berazam untuk ubah nasib keluarga," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Muhammad Ayyad Abdullah yang turut menyantuni keluarga itu berkata, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan menyediakan sebuah rumah di Rumah Pangsa Kampung Padang untuk keluarga itu berpindah tidak lama lagi memandangkan mereka kini menumpang rumah keluarga angkat.

Menurutnya, ini penting supaya kesempitan hidup keluarga ini dapat dibantu selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyalurkan bantuan bulanan termasuk Bantuan Kanak-Kanak (BKK).

"Kita telah buat keputusan untuk pindahkan keluarga ini dalam tempoh tiga minggu lagi, malah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan membantu dari segi bayaran bulanan rumah dan sebagainya," katanya.