Mendepani krisis Covid-19 di Selangor

Iklan
Amirudin

[MUKADIMAH] Selangor menjadi antara penyumbang kes positif Covid-19 harian terbanyak dan pastinya ia bukan perkembangan yang baik buat sistem kesihatan negara.

Selepas Sekatan Pergerakan Penuh berakhir pada 28 Jun lalu, negara kini memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Terbaharu, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu di Selangor dan lokaliti tertentu di Kuala Lumpur.

Sudah pasti apa yang diharapkan daripada pelaksanaan ini ialah penurunan kes yang boleh memberi implikasi bagi melandaikan lekuk kes Covid-19 di Malaysia lebih-lebih lagi dua negeri ini antara penyumbang terbesar kes harian.

Iklan

Bagi mendapatkan gambaran jelas dan tindakan daripada kerajaan Selangor, The Star berpeluang menemubual Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. Ikuti terjemahan wawancara tersebut.

SOALAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini telah dilanjutkan untuk dua minggu lagi sebagai inisiatif Pelan Pemulihan Negara. Apa pendapat Datuk Seri?

Iklan

AMIRUDIN: Kita kini beralih kepada PKPD selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menutup hampir keseluruhan kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor bermula 3 Julai.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi saya. Melihat usaha sebelum ini yang gagal mencapai objektif untuk membendung penyebaran Covid-19 dengan peningkatan kes harian sehingga 5,000 ke 6,000. Selepas sebulan PKP, kita hanya berjaya mengurangkan kes Covid-19 negara kepada 33 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan 9,020 pada 29 Mei.

Melihatkan kepada kes harian semasa, kita memerlukan tempoh berbulan-bulan lagi untuk meratakan lengkuk Covid-19. Objektif utama PKPD adalah untuk memberi ruang kepada hospital agar kita kembali mempunyai jumlah katil, fasiliti dan petugas perubatan yang mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19.

Keadaan semasa membuatkan kita perlu menggabungkan pendekatan yang telah dikaji dan diuji dalam memerangi penyebaran virus ini. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan jelas membuktikan pendekatan Cari, Uji, Kesan, Isolasi dan Sokong (FTTIS) berupaya membendung penyebaran ini.

Selangor kekal menjadi penyebab (epicentre) dalam peningkatan jumlah kes positif Covid 19. Sejujurnya, saya sedih melihat Selangor berterusan mencapai angka kes positif harian tertinggi.

Selangor mempunyai populasi terbesar berbanding negeri-negeri lain dengan sekurang-kurangnya 6.57 juta penduduk berasal dari kawasan ini. Ini belum termasuk penduduk dari negeri lain yang bekerja dan menetap di sini.

Bukan itu sahaja, hampir suku daripada kegiatan ekonomi negara juga berpusat di Selangor. Dengan populasi yang sangat besar ini, tidak hairan jika Selangor berterusan mencapai kes positif harian tertinggi.

Maka, PKPD perlu dikuatkuasakan memandangkan terlalu banyak kegiatan ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan yang sebelum ini.

Apakah cadangan Datuk Seri dalam menghadapi pandemik ini?

Tidak perlu untuk toleh ke belakang lagi. Kita sudah menjalani pelbagai PKP sejak 470 hari yang lalu. Saya selalu menitikberatkan kerendahan hati dalam kepimpinan saya. Sekiranya kita membuat kesilapan, perbetulkan segera dan belajar daripada yang lebih baik.

Belajarlah dengan England dan China. Kedua-duanya adalah negara pengeluar vaksin. Sekiranya mereka mahu, mereka boleh sahaja fokus untuk mengeluarkan vaksin dan hanya menggunakannya untuk penduduk mereka.

Sebaliknya, England melancarkan ujian swab berskala besar yang disebut sebagai Operasi Moonshot dan menjalankan 209,341,895 ujian untuk sebuah negara yang memiliki penduduk sekitar 68 juta orang. Jumlah ini adalah tiga kali ganda berbanding penduduk mereka sendiri.

Lihat juga China. Pada awal bulan lalu, saya telah membaca satu artikel mengenai bandar Guangzhou, bagaimana mereka mengawal dan menangani peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 dengan sangat pantas.

Jadi, jelaslah rahsia kejayaan: uji dan vaksin. Saya sentiasa menjelaskan pendirian ini dalam semua pertemuan saya dengan agensi negeri dan persekutuan, termasuk perdana menteri dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada akhirnya, kajian saintifik mempunyai pembuktian yang paling kuat dan diyakini. Saya gembira kerana rakyat Malaysia mula mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai langkah yang dilakukan.

Kita menyasarkan untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada 135,000 dos per hari pada penghujung Julai seterusnya 165,000 pada penghujung Ogos.

Apakah langkah yang diambil kerajaan negeri Selangor sendiri dalam memerangi penyebaran virus ini?

Kerajaan negeri Selangor sendiri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang berobjektif untuk menyediakan sekurang-kurangnya 2.5 juta dos vaksin untuk 1.25 juta penduduk di Selangor.

Program ini telah dilancarkan dan kami berharap dapat memperoleh kesemua bekalan vaksin secepat mungkin untuk mencapai tujuan serampang dua mata kami melalui pendekatan Komuniti SelVAX dan Industri SelVAX.

Keutamaan Komuniti SelVAX adalah untuk melindungi 250,000 rakyat yang terdiri daripada golongan berisiko terutamanya penerima program kebajikan Inisiatif Peduli Rakyat, warga emas, ibu tunggal dan penerima Peduli Sihat. Kami juga akan menambah kriteria lain ke dalam senarai ini dari masa ke masa.

Petugas kesihatan dari Selcare lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) semasa sedang bertugas mengambil sampel Covid-19 ketika Ujian Saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Jenjarum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 11 pada Mei lalu. - Foto Bernama

Industri SelVAX pula akan memfokuskan kepada pekerja yang mana bekalan vaksin akan dibeli oleh syarikat yang bersama-sama menjadi nadi dalam kegiatan ekonomi Selangor, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Ini akan menghapuskan kluster tempat kerja dan membolehkan syarikat-syarikat untuk terus beroperasi sekiranya PKP dijalankan lagi pada masa hadapan seterusnya tidak merisikokan punca pendapatan penduduk yang diakibatkan oleh penutupan syarikat.

Senarai ini akan dimuktamadkan selepas perbincangan lanjut bersama kerajaan pusat dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19.

Ringkasnya, tujuan inisiatif ini adalah untuk membantu kerajaan pusat mempercepatkan program vaksinasi.

Selain vaksinasi, apakah inisiatif yang dijalankan untuk membantu rakyat?

Selangor telah mengusahakan lima pakej rangsangan sejak Mac 2020 dan itu tidak termasuk belanjawan tahunan.

Usaha terbaru kami adalah Pakej Kita Selangor 2.0 yang memfokuskan bantuan kepada mereka yang akan dan paling terjejas disebabkan PKP, berdasarkan pengalaman tahun lalu.

Kita telah memberikan moratorium pembayaran balik untuk penyewa rumah di bawah Skim Sewa Pintar, pengusaha HIJRAH, pinjaman pelajar untuk penerima Yayasan Selangor dan lain-lain.

Selangor Advance pula adalah inisiatif yang mempunyai fokus baharu pada kali ini dengan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk memastikan syarikat-syarikat dapat mengekalkan pencairan dan mengatasi masalah aliran tunai.

Selain itu, RM80 juta geran perniagaan kecil pula diperuntukkan untuk mewujudkan 8,000 usahawan baharu di Selangor.

Kita juga tidak lupa dengan kepentingan ujian saringan Covid-19 dan telah memperuntukkan sebanyak 100,000 kit ujian percuma bagi membendung wabak ini.Pada masa sama, kita sedang berusaha untuk merangka belanjawan bagi tahun 2022 yang akan merangkumi lebih banyak perancangan ekonomi jangka panjang dan akan diumumkan pada akhir tahun ini.

Adakah Selangor telah bersedia untuk kesan jangka masa panjang?

Kita terpaksa. Secara peribadi, saya yakin kita bakal hadapi kesan jangka masa panjang. Walaupun Malaysia telah mencapai imuniti kelompok, kehidupan tidak akan kembali seperti sediakala.

Ekonomi kita perlu dibina semula, jika tidak semua, sebahagian besar daripadanya. Pandemik ini telah menjejaskan keseluruhan masyarakat dan ini adalah kepentingan kerajaan menjadi lebih tangkas dan bertanggungjawab.

Pesan saya kepada rakyat Selangor, kita perlu bersama dalam usaha melindungi satu sama lain dalam semangat Kita Jaga Kita. Kita pasti menang.