[MUKADIMAH] Kempen bendera putih menjadi buah mulut masyarakat apabila tanda pagar #benderaputih dan #rakyatjagarakyat telah mendapat sambutan hangat daripada warganet.
Rata-rata masyarakat termasuk sebahagian ahli politik dan golongan artis turut menunjukkan sokongan padu terhadap kempen tersebut.
Walaubagaimanapun, tidak semua orang mengiktiraf kempen itu, malah ada yang mendakwa kempen berkenaan mengajar masyarakat agar lebih mudah mengalah dan turut bermotifkan politik.
Yang pasti, tsunami kempen bendera putih telah berjaya menjadi 'harapan' baharu kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Persoalannya, siapakah individu yang telah mencipta gerakan kreatif itu sehingga mendapat sambutan rakyat Malaysia?
Wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy menemubual Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan (AWAN), Nik Faizah Nik Othman atau lebih mesra dengan panggilan 'Kak Jah' yang menjadi individu pertama mencetuskan idea kempen bendera putih di media sosial pada penghujung Jun lalu.
SINAR HARIAN: Boleh Nik Faizah kongsikan, bagaimana tercetusnya idea kempen bendera putih ini?
NIK FAIZAH: Idea itu datang secara spontan apabila saya membaca berita tentang kes kematian bunuh diri yang semakin hari semakin meningkat. Saya berasa amat sedih dan berfikir bagaimana cara terbaik untuk menolong golongan dalam kesusahan ini. Oleh itu, tercetusnya idea untuk mengibarkan bendera putih dan mereka yang duduk berdekatan boleh bantu dengan segera.
Kempen ini bukan sahaja menolong orang yang susah, malah juga golongan yang mengalami depresi. Sebenarnya, ramai orang mempunyai gangguan emosi akibat isu kewangan baik golongan B40 atau M40.
Kenapa bendera putih? Kerana itu sahaja bendera yang terkecuali daripada politik dan mempunyai motifnya tersendiri. Jadi saya sangat tidak setuju apabila bendera putih dinilai sebagai simbolik kekalahan.
Ada beberapa pihak yang kurang setuju dengan kempen bendera putih dengan mendakwa ia merupakan satu simbol kekalahan dan bermotif politik, apatah lagi Nik Faizah sendiri merupakan salah seorang pemimpin Amanah. Apa komen Nik Faizah tentang perkara ini?
Rakyat Malaysia majoritinya semua tahu dan sedar niat sebenar kempen bendera putih ini. Yang menganggap ini mainan politik hanya segelintir sahaja. Mereka yang terdesak akan kibarkan bendera dan kempen ini terus mendapat sambutan, jadi ia tidak menjadi masalah untuk saya. Netizen lebih bijak memahami.
Saya juga hendak menegaskan kempen ini tidak ada kena-mengena dengan propaganda politik. Jika ya, saya akan menyuruh menaikkan bendera politik dan bukan bendera putih.
Bendera putih diangkat untuk memberitahu keadaan getir masyarakat yang memerlukan bantuan bukan merujuk kepada kerajaan gagal seperti didakwa.
Kempen bendera putih ini tidak patut dipolitikkan kerana kita semua berada dalam keadaan yang susah dan kerana itu, kita harus bersatu untuk menangani bencana ini.
Ramai turut menyokong kempen ini terutamanya warganet di media sosial. Adakah ini dapat membantu lebih banyak golongan sasaran?
Saya rasa cara ini amat berkesan kerana ramai yang nak tolong tetapi tidak tahu siapa yang betul-betul memerlukan. Tidak dinafikan, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan dalam kesusahan namun mungkin tidak menyeluruh dan secara rawak yang menyebabkan ada golongan yang tercicir.
Saya percaya pihak bertanggungjawab mempunyai senarai bantuan kepada golongan yang memerlukan namun ketika ini sangat ramai orang yang susah yang sukar dikenal pasti dan tidak tersenarai dalam golongan bantuan sedia ada. Jadi dengan mengangkat bendera putih, pasukan bantuan lebih mudah untuk mengenal pasti mereka.
Ada juga pihak mengatakan tak perlu kibarkan bendera putih dan hanya hubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri yang berkenaan untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi. Adakah Nik Faizah setuju dengan tindakan ini?
Saya tidak setuju kerana cara itu sudah pun berjalan sebelum ini namun masih kurang efektif dan kita lihat keadaan tidak membantu. Ramai yang susah sekarang ini sampai bunuh diri mungkin kerana tidak ada tempat untuk mengadu dan sukar untuk melaporkan apa yang terjadi pada mereka.
Kadangkala, lokasi juga memainkan peranan. Mereka yang berada di pedalaman sukar untuk keluar dan faktor perintah kawalan pergerakan (PKP) yang harus mengisi borang untuk ke suatu lokasi di samping sekatan jalan raya menyebabkan kesukaran untuk meminta bantuan.
Setakat ini berapa ramai yang mengibarkan bendera putih yang telah dibantu oleh AWAN?
Kami membantu dan mewakili seluruh negeri Kelantan. Setiap hari akan ada yang mengangkat bendera putih. Untuk minggu ini sahaja sebanyak 170 pek makanan telah diagihkan di Tiong, Lubuk, Guntong Lipat, Pengkalan Chepa, Tanah Merah, Tumpat dan Langgar.
Kami bergerak dengan kerjasama NGO di mana bantuan kami agihkan ikut keperluan setempat. Tidak dinafikan, kami juga kekurangan dana di mana kami cuma siapkan bakul makanan di rumah AWAN bila ada sumbangan orang ramai. Yang bekerja pun semua sukarelawan dan masa tak menentu.
Oleh itu, timbul idea bendera putih ini supaya jiran tetangga juga dapat saling membantu dengan segera selain mengharapkan sumbangan NGO.
Ada atau tidak golongan M40 yang turut mengibarkan bendera putih kerana memerlukan pertolongan?
Semestinya ada. Di Kelantan, yang ramainya adalah yang dulu bekerja tetapi sekarang sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi jadi untuk beberapa bulan ini mereka tidak ada sumber pendapatan.
Apa perasaan Nik Faizah bila tengok kempen ini tular lalu orang awam pula membantu mereka yang dalam kesusahan?
Saya tidak menyangka ia akan menjadi tular dan amat bersyukur kepada semua yang menyokong kempen ini sama ada artis, 'influencer', ahli politik dan tak lupa juga beberapa orang dari pihak kerajaan.
Sepatutnya perkara inilah yang kita buat dan saya berharap selepas ini tidak ada pandangan negatif terhadap kempen ini untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.
Adakah inisiatif kempen ini memudahkan lagi pemimpin atau pihak bertanggungjawab di kawasan mereka dalam mengenali golongan sasaran?
Ya, saya rasa kempen ini lagi memudahkan pemimpin atau Yang Berhormat (YB) di kawasan mereka untuk membantu golongan tersebut.
Apabila adanya bendera putih di rumah sebagai simbol, ia memudahkan orang ramai untuk lebih 'alert' dan merupakan cara efektif untuk mencapai sasaran.
Apa pandangan atau nasihat Nik Faizah kepada golongan yang mungkin ingin mengibarkan bendera putih tetapi masih berasa was-was atau malu dengan keadaan mereka?
Saya nasihatkan mereka yang malu nak angkat bendera ini untuk berfikiran positif dan tidak fikir akan tohmahan orang. Kita tengok keadaan kita, jika terdesak, kita minta sahaja bantuan. Perkara ini tidak menyalahi undang-undang dan agama. Apa salahnya mengangkat bendera putih?
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)