TANPA disangka, penulisan saya dan Profesor Datuk Dr Shamrahayu bertajuk 'Perbincangan Yang di-Pertuan Agong Dengan Pemimpin Politik....', telah menarik begitu banyak respons. Antaranya termasuklah yang mengatakan kami menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, biadab dan sebagainya.
Ada juga yang membuat tuduhan liar dan meminta tindakan diambil terhadap kami. Sebaliknya, ada yang menulis rencana memberi pandangan sebaliknya tanpa menyentuh peribadi. Kepada mereka saya ucapkan ribuan terima kasih, tidak kiralah saya bersetuju dengan pandangan mereka atau tidak.
Perlu diingatkan bahawa dalam rencana kami itu, untuk mengelakkan kontroversi, kami tidak pun menyebut sama ada Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau tidak untuk memanggil Parlimen bersidang semasa darurat. Kami juga tidak memberi apa-apa komen terhadap keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Keadaan telah memerlukan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media di mana beliau memberi pandangan beliau berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan penghakiman-penghakiman mahkamah sama ada dan di mana Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat Perdana Menteri.
Perlu ditegaskan bahawa kenyataan itu adalah pendapat undang-undang berdasarkan undang-undang, termasuk Perlembagaan. Ia terpakai pada semua masa tidak kira siapa yang menduduki jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, bukan khusus mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada masa ini sahaja.
Kenyataan itu tidak lebih daripada nota kuliah undang-undang Perlembagaan yang disediakan oleh seorang pensyarah atau profesor atau jawapan seorang pelajar pintar kepada soalan mengenai isu tersebut, di mana-mana universiti.
Perhatian berkisar kepada kenyataan Peguam Negara itu. Pengkritik-pengkritik itu menuduh Peguam Negara melampau, menghina dan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong, bahawa ia adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera, bahawa ia melanggar kebiasaan, tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong, 'memperkecil' kuasa Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang hari ini diguna pakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah dan ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan prinsip.
Lim Guan Eng pula, antara lain, berkata, dengan menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat kabinet jelas menunjukkan Idrus berpihak kepada Perdana Menteri untuk mengenepikan titah Agong yang didukung oleh Majlis Raja-Raja, agar Parlimen bersidang secepat mungkin.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersamanya berkata, kenyataan Peguam Negara itu, terutama dalam konteks sekarang, telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.
"Oleh itu, PH menegaskan bahawa kenyataan Peguam Negara itu sebagai satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera.”
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Anwar, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Guan Eng.
Datuk Zaid Ibrahim pula dilaporkan oleh Malaysiakini seperti berikut:
"Peguam Negara (AG) Idrus Harun tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan awamnya mengenai pembukaan semula Parlimen, menurut bekas menteri undang-undang de facto, Zaid Ibrahim.”
Nampaknya, kata-kata menghina, memperkecil, tidak menghormati dan menderhakai Yang di-Pertuan Agong telah diberi makna sangat luas sehingga Peguam Negara yang memberi pandangan rasmi mengenai peruntukan undang-undang dan Perlembagaan yang mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong pun dianggap menghina, memperkecil, tidak menghormati dan menderhakai baginda.
Maka, untuk mengelaknya, setiap kali Peguam Negara memberi nasihat atau ditanya oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai sesuatu isu undang-undang, Peguam Negara kenalah memberi pandangan yang meluaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong atau, dalam kata lain, yang menyebelahi Seri Paduka Baginda.
Dalam hal ini, perlu diingati bahawa Istana Negara sendiri telah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 24 Februari 2021 memberi pandangan yang sama dengan apa yang dikatakan oleh Peguam Negara itu. Saya perturunkan dua perenggan daripada kenyataan Istana Negara itu:
"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana Menteri.
Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.”
Adalah jelas bahawa pandangan yang diberi oleh Peguam Negara itu adalah selaras dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam kenyataan media Istana Negara itu.
Maka, bagaimana ia boleh dikatakan melampau, menghina dan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong, bahawa ia adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera, bahawa ia melanggar kebiasaan, tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan 'memperkecil' kuasa Yang di-Pertuan Agong?
Sebaliknya, jika Peguam Negara itu memberi pandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak perlu mengikut nasihat Perdana Menteri dalam hal ini, maka ia bercanggah pula dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam kenyataan media itu. Mengikut hujah pengkritik-pengkritik itu, Peguam Negara melakukan kesalahan yang sama juga!
Dalam hal ini, suatu perkara yang menarik telah berlaku iaitu Tan Sri Tommy Thomas, Mantan Peguam Negara kerajaan Pakatan Harapan, telah tampil ke hadapan dan memberi pandangannya. Antara lain, mengikut laporan Malaysiakini:
"Bekas Peguam Negara Tommy Thomas telah menyatakan kekecewaannya dengan Pakatan Harapan kerana menuntut pemecatan penggantinya Idrus Harun.
.... Semua orang berhak kepada pendapat mereka. Anda harus bersetuju untuk tidak bersetuju. Itulah undang-undang.
"Peguam Negara tidak boleh dipecat kerana ada yang tidak setuju dengan pendapat undang-undangnya.
"Harus ditegaskan bahawa pendapat undang-undang bukanlah dimaksudkan untuk menjadi popular atau membodek."
Beliau patut dipuji dalam hal ini.
Perlu diingati bahawa adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memberi pandangan yang jujur dalam suatu perkara mengikut undang-undang, tidak kira sama ada ia menambah atau mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, tidak kira sama ada ia disukai atau dimurkai. Seseorang yang tidak berani berbuat demikian, tidak layak menjadi Peguam Negara.
Mengikut pendapat pengkritik-pengkritik itu juga, apabila Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, nasihat itu mestilah memihak kepada Seri Paduka Baginda, jika tidak, Perdana Menteri juga melakukan kesalahan yang sama.
Jika mengikut hujah itu lagi, apabila Mahkamah Khas membicarakan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu seperti dalam kes Standard Chartered Bank Malaysia Bhd v Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus (2009) 3 CLJ 709, Mahkamah Khas juga mestilah memberi penghakiman menyebelahi Seri Paduka Baginda, jika tidak hakim-hakim itu juga melakukan kesalahan serupa. Undang-undang bukanlah begitu.
Satu perkara lagi yang saya perhatikan ialah semua pengkritik rencana saya dan Shamrahayu dan juga pengkritik-pengkritik Peguam Negara itu mengemukakan hujah-hujah mereka dengan mengaitkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, oleh sebab, pada pandangan mereka, Muyidddin tidak mempunyai sokongan majoriti, tambah pula dengan pandemik Covid-19, diikuti dengan masalah ekonomi negara dan kemiskinan rakyat, peruntukan yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri tidak terpakai.
Rencana kami dan kenyataan Peguam Negara bukanlah berkenaan Muhyiddin. Ia adalah satu pendapat umum yang terpakai kepada setiap orang yang menduduki jawatan Perdana Menteri.
Mungkin itu hujah politik yang menarik pengundi, tetapi ia bukanlah suatu hujah undang-undang sama ada Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Peguam Negara atau tidak. Selagi seseorang itu menduduki jawatan Perdana Menteri, semua peruntukan Perlembagaan dan undang-undang berkenaan dengannya terpakai kepadanya.
Pandangan seseorang individu, sama ada dia Ketua Pembangkang, ketua sebuah parti politik atau sesiapa sekalipun atau pandangan sesuatu kumpulan, bahawa seseorang Perdana Menteri itu tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen tidak mengubah kedudukan.
Hanya apabila dia meletak jawatan, hilang kelayakan mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong melantik seorang lain yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti oleh ahli-ahli Parlimen, sama ada selepas Pilihan Raya Umum atau tidak, barulah dia tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong tidak perlu mengikut nasihatnya lagi.
Tetapi Yang di-Pertuan Agong perlu mengikut nasihat Perdana Menteri baru pula dalam perkara-perkara yang Perlembagaan menghendaki Seri Paduka Baginda berbuat demikian.
* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara