ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 13 warga asing termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun dalam 'Op Bersepadu' yang dijalankan di beberapa premis kediaman dan perniagaan di sini, semalam.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) kerana tidak memilki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh.
Iklan
Iklan
Katanya, seramai 52 warga asing diperiksa dalam operasi yang bermula 6 petang hingga 8.15 malam tadi.
"Mereka yang ditahan adalah tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki Indonesia, tiga lelaki Bangladesh dan juga enam lelaki India," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zuhair berkata semua yang ditahan berumur satu hingga 50 tahun itu, ditempatkan di lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik. - Bernama