SEKINCHAN - Siapa sangka, seorang cef yang bekerja di luar negara terpaksa pulang ke Malaysia dan menukar kariernya kepada penjual padi dan jerami kesan daripada pandemik Covid-19.
Muhamad Alif Roslan, 25, kini mengusahakan perniagaan itu bersama keluarganya di sini selepas dia pulang dari Kuwait pada Julai tahun lalu bagi menampung kehidupan keluarga.
Bekerja selama empat tahun di Kuwait, pada asalnya Muhamad Alif pulang ke tanah air disebabkan kes Covid-19 meningkat di negara Arab itu, manakala Malaysia semakin pulih daripada pandemik berkenaan.
"Pada waktu itu, Kedutaan Malaysia di Kuwait memaklumkan bahawa sesiapa yang ingin pulang ke Malaysia, mereka akan menguruskan perjalanan pulang ke tanah air berikutan Kuwait akan dikenakan total lockdown kali kedua.
"Saya fikir dengan operasi tempat kerja yang tidak menentu dan dipotong gaji serta desakan keluarga untuk pulang, saya buat keputusan kembali ke tanah air,” katanya yang mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari selama 10 tahun.
Muhamad Alif berkata, sekembalinya ke tanah air, dia mendapat idea untuk mengusahakan sebuah tapak berkelah di sini dengan latar belakang sawah padi.
Katanya, walaupun perniagaan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dari seluruh Malaysia, namun ia mula terganggu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini, lantas operasinya terpaksa dihentikan.
Dalam masa sama, dia turut mengambil tender perusahaan kantin sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjong Karang bermula Februari lalu, bagaimanapun terpaksa dihentikan kerana pelaksanaan PKP pada Mac lalu menyebabkan modal perniagaannya sebanyak RM35,000 lebur begitu sahaja.
"Disebabkan itu, saya dan ayah kini menguruskan jualan jerami dan penyimpanan padi di sebuah kilang. Kilang ini peninggalan milik arwah datuk yang diuruskan oleh ayah.
"Kedua-dua hasil pertanian ini tidak mempunyai kekangan disebabkan ia bahan keperluan tani,” ceritanya.
Tambah Muhamad Alif, dia kini perlu memikirkan strategi baharu bagi memastikan perniagaannya berjaya terutama ketika berdepan kesan pandemik yang sangat mencabar.
"Pendapatan saya tidaklah banyak berbanding ketika bekerja di luar negara, namun cukup untuk menampung kehidupan keluarga, membayar gaji pekerja di kilang padi dan menguruskan kantin sekolah dengan 10 orang pekerja,” kata Muhammad Alif.