SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa masih ada pihak yang cuba bermain politik kerana terlalu gila untuk berkuasa semula meskipun negara berhadapan penularan Covid-19 yang mengancam nyawa.
Beliau berkata, usaha itu dilihat terus berjalan walaupun beberapa cubaan yang dilakukan sebelum ini menemui jalan buntu.
"Pandemik ‘politiking’ gila untuk berkuasa semula masih menjalar penularan wabaknya, sehingga tidak mempedulikan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.
"Setelah mereka gagal melalui pendekatan meniru langkah Perikatan Nasional mengambil akuan sumpah (SD) ahli Parlimen, mereka mengemukakan undi percaya dan undi tidak percaya yang gagal juga, di samping berusaha menubuhkan jajaran baharu sehinggalah terkini mengheret semua pihak berpolitiking.
"Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit 'politiking' itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, ada pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak sedar diri kerana membuat kenyataan seolah-olah pihak tersebut masih menjadi kerajaan.
Jelas beliau, fokus untuk menangani pandemik Covid-19 sepatutnya segera dilakukan dengan kerjasama semua semua pihak tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik demi menjaga nyawa seluruh rakyat.
"Adapun peranan politik boleh ditunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali,” ujarnya.