PANDEMIK Covid-19 telah melangkaui dua tahun, yang bermula pada awal tahun 2020.
Sehingga hari ini, pandemik tersebut tidak menampakkan akan berakhir dalam masa terdekat.
Malah ada laporan mengatakan muncul varian baru yang semakin merbahaya dan meningkatkan bilangan jangkitan dan bilangan kematian harian.
Penularan wabak ini memberi implikasi kepada seluruh aspek kehidupan melibatkan gaya hidup, pendidikan, ekonomi dan sosial dan berlaku di seluruh dunia.
Namun begitu, berlaku pula suatu gelombang perubahan yang sangat positif, tercetus dari pandemik ini iaitu sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.
Semangat tolong-menolong dan kerjasama dalam kalangan masyarakat semakin meningkat melangkau batas agama, bangsa dan fahaman politik.
Kita sangat teruja dengan usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif Kerajaan untuk membantu dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat tidak teruk terjejas.
Hakikatnya, apabila pihak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak pihak dilanda kesukaran disebabkan terhentinya aktiviti ekonomi, dan aktiviti sosial yang juga memberi kesan kepada ekonomi.
Kesannya ada yang kehilangan pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Memang sangat sukar mengimbangi risiko jangkitan dan ekonomi yang terjejas.
Dalam skala yang tersangat kecil, atas dasar tanggungjawab demi kelangsungan pendidikan tinggi, UTM pernah menggerakkan ‘budaya memberi’ (giving culture) untuk menyerap kesan pengurangan bajet terhadap aktiviti akademik pelajar.
Beberapa usaha pengumpulan dana dibangunkan seperti Tabung Waqaf, Endowmen, dan Tabung ‘Because We Care Chancellor Fund’ khas memberi bantuan makanan kepada pelajar.
Usaha tersebut sangat-sangat mencabar. Tidak ramai yang bersedia memberi. Malah inisiatif untuk memindahkan sebahagian kecil bayaran cukai pendapatan kepada bayaran zakat mengambil masa untuk mencapai sasaran.
Zakat yang dibayar melalui UTM sebahagiannya boleh terus diagihkan kepada asnaf dalam kalangan mahasiswa melalui kerjasama dengan Majlis Agama.
Budaya memberi belum meluas dan berhadapan dengan pelbagai halangan. Betul lah ada yang berkata, ‘mengeluarkan wang dari saku untuk menyumbang sakitnya seolah-olah seperti gigi dicabut’
Justeru apabila gelombang budaya memberi ini tiba-tiba melonjak, berlaku secara meluas, digerakkan secara inisiatif individu, masyarakat, masjid dan institusi agama yang lain, badan bukan kerajaan, entiti perniagaan dan sebagainya.
Ia suatu petunjuk bahawa masyarakat memiliki kekuatan dan mampu menggerakkan perubahan.
Sememangnya antara faktor bagi sesuatu perubahan berjaya dilakukan ialah berlakunya sesuatu yang mendesak.
Nampaknya dalam aspek budaya prihatin dan saling membantu, pandemik Covid-19 mempunyai hikmah tersendiri iaitu memberdayakan masyarakat untuk berubah.
Kita yakin ramai yang akan melalui pengalaman sendiri bahawa memberi kepada orang lain akan menatijahkan kepuasan luar biasa dan memang harta pun tidak berkurangan.
Peranan media sosial mengetengahkan isu kesengsaraan hidup akibat hilang punca pendapatan adalah satu aspek positif yang boleh dipertingkatkan.
Sebagai manusia yang mempunyai naluri keinsanan, perkongsian ini menginsafkan kita semua dan segera memberi sumbangan. Kita mengharapkan momentum prihatin ini akan kekal berterusan.
Tambahan pula, telah banyak diperkatakan tentang keberkesanan institusi sosial membuat perubahan secara kendiri.
Hakikatnya kita sebagai ahli komuniti berupaya memberdayakan (empower) diri kita untuk membuat perubahan yang manfaatnya kembali kepada masyarakat seluruhnya.
Kita ambillah ini sebagai satu petunjuk dan memberi harapan bahawa masyarakat dengan berpegang kepada nilai sejagat mampu menggerakkan perubahan, demi kesejahteraan bersama. Menggunakan konsep #kitajagakita.
Ayuh jom kita teroka dan fikirkan langkah seterusnya merebut peluang untuk kita lakukan perubahan bersama demi kesejahteraan kita bersama.
Pertama perubahan budaya politik yang lebih positif dan produktif. Politik adalah satu institusi penting dalam mencorakkan negara. Jangan kita tidak ambil peduli. Mungkin ada yang sudah bosan.
Jika kita tidak ambil peduli, mengikut hukum alam, akan berkerumunlah di sana mereka yang berpolitik merebut kuasa dan harta.
Kita harus segerakan perubahan ke arah politik memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Politik dengan petunjuk prestasi yang telus, bersedia menyerahkan kuasa sekiranya terbukti tidak berupaya.
Bukan politik retorik. Bukan politik fitnah dan bukan politik sepak terajang.
Jika kita mampu lakukan perubahan ini, institusi politik akan lebih dihormati dan bakal diisi oleh mereka yang berupaya memberi perkhidmatan terbaik, berpegang kepada prinsip integriti dan ketelusan. Hakikatnya, kuasa ditangan rakyat.
Seterusnya masyarakat boleh menggerakkan perubahan agar agensi kerajaan, entiti perniagaan turut berubah, memberi fokus kepada kemaslahatan masyarakat seluruhnya.
Bukankan kita yang mendokong entiti ini. Kita adalah anggota masyarakat.
Inilah bentuk pemikiran tidak mementingkan diri sebagaimana kita telah gerakkan budaya memberi. Dan kita mulakan dengan diri sendiri.
Kita cetuskan pula budaya mengambil peduli akan kepentingan masing-masing dan mengujudkan satu ekosistem saling melengkapi demi kesejahteraan bersama. Kita perlu berubah kepada apa sahaja ikhtiar demi peningkatan produktiviti dan kualiti.
Mewujudkan nilai tambah, bukan hanya memberi fokus kepada ‘kuasa’ kita. Seharusnya berubah segera kepada tindakan pantas dan kualiti perkhidmatan lebih berdaya saing.
Memudahkan proses, mengkaji polisi dan prodesur yang mengekang inovasi. Membina ekosistem saling mempercayai dan menurunkan kuasa, bukannnya memusatkan kuasa.
Kita yakin kalau kita berfikir bukan untuk kepentingan sendiri, perubahan ini boleh dilakukan dengan mudah.
Suatu anjakan paradigma boleh dibuat untuk melaksanakan transformasi agar rakyat tidak menjadi mangsa menanggung segala beban kesukaran.
Entiti perniagaan yang juga didokong oleh kita anggota masyarakat berpeluang menjadi lebih prihatin.
Ketika ini keuntungan seharusnya boleh dikaji demi menyerap kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terbanyak.
Sebagai contoh khidmat internet. Kita akui banyak Telco menawarkan pelbagai pakej data bagi memudahkan aktiviti dalam talian.
Apakah pihak Telco hanya berpegang kepada saiz data yang diberi tanpa melihat keupayaan sebenar yang dialami oleh pengguna.
Sepatutnya kita beralih kepada kualiti sebenar keupayaan internet, bukan saiz perkhdmatan data yang tercatat dalam pakej.
Bagi meningkatkan keupayaan sebenar, perlulah Telco membuat pelaburan, bukan memaksimumkna keuntungan. Ruang dan peluang lain yang boleh diterokai termasuklah khidmat kesihatan, takaful dan lain-lain perkhidmatan berkaitan risiko.
Ketika inilah ada syarikat menaikkan premium, mengurangkan manfaat. Ini bukan ke arah mensejahterakan masyarakat, tetapi mengambil kesempatan demi mengekalkan keuntungan.
Elok dikaji semula nilai sebenar yang ditawarkan kepada pengguna, bukan hanya mementingkan keuntungan besar, manakala pengguna menjadi mangsa kepada nilai-nilai insaniah yang merosot.
Biarlah kita berkongsi kesukaran ini pada saat seluruh ahli masyarakat memerlukan sokongan sesama kita.
Antara ruang besar lain di mana masyarakat boleh menggerakkan perubahan ialah membina masyarakat berintegriti. Kita nyahkan mereka yang tidak berintegriti dari berperanan dalam agensi melibatkan kepentingan awam sehinggalah dibuktikan sebaliknya.
Integriti bukan sekadar tidak amanah dalam menggunakan kuasa atau penyelewengan, malah termasuk juga tindakan-tindakan tidak bermoral, melanggar peraturan yang menyebabkan kredibiliti seseorang boleh dipersoalkan.
Contoh mudah adalah pemimpin yang langgar SOP Covid-19 MKN. Mereka sendiri menunjukkan tidak boleh mendisiplinkan diri. Apakah mereka boleh dipercayai untuk menguruskan perkara lebih besar.
Masyarakat boleh juga berperanan membanteras penyakit-penyakit sosial yang lain seperti dadah, pergaulan bebas, aktiviti tidak bermoral. Apa yang diperlukan ialah sikap prihatin dan tidak menggunakan maksud ‘menjaga tepi kain orang’ secara negatif.
Kita telah mencetuskan gelombang besar budaya prihatin dan membantu sesama kita. Buktikan masyarakat kita boleh mencetuskan gelombang baru mencipta pelbagai perubahan demi kesejahteraan bersama. Jangan biarkan peluang berlalu begitu sahaja. #kitajagakita.
* Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Profesor Dr Kassim Thukiman dari Universiti Teknologi Malaysia