PENGENDALI Peru, Ricardo Gareca berharap Peru diharap dapat melupakan 0-4 kepada Brazil pada aksi peringkat kumpulan Copa America 2021 dan memberikan tumpuan bagi berdepan skuad Selecao itu pada saingan separuh akhir pada Isnin.
Malah menurutnya, skuad La Blanquirroja itu diminta untuk memberikan aksi terbaik bagi berdepan juara bertahan itu sama seperti yang dilakukan ketika menewaskan Paraguay pada suku akhir, 3 Julai lalu.
"Kita mendapat peluang untuk berdepan Brazil sekali lagi dan membetulkan semula segala kesilapan yang berlaku pada pertemuan di peringkat kumpulan sebelum ini.
"Oleh itu, kesemua pemain diharap tidak melepaskan peluang ini dengan memberikan aksi terbaik masing-masing bagi mencatatkan kemenangan pada perlawanan berkenaan.
"Sekali gus, merealisasikan misi pasukan untuk mara ke final Copa America kali ini,” katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.
Untuk rekod, Peru menewaskan Paraguay 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terika 3-3 selepas masa tambahan.
Bagaimanapun perlawanan berkenaan turut dicemari dengan dua layangan kad merah kepada pemain Paraguay, Gustavo Gomez pada masa kecederaan separuh masa pertama serta kepada pemain Peru, Andre Carrilo (min-85).
Sementara itu Gareca berkata, Peru bakal beraksi tanpa kelibat penyerang, Paolo Guerrero yang mengalami kecederaan lutut yang sekali gus menyaksikannya terpaksa melupakan terus saingan Copa America kali ini.
Bagaimanapun menurut Gareca, posisi Guerrero bakal digantikan oleh penyerang Gianluca Lapadula yang turut diberikan tanggungjawab untuk merobek gawang Brazil.
"Kita sedar, Brazil terus dilabel sebagai pasukan pilihan pada Copa America kali ini. Ya, betul kerana bagi saya, Brazil adalah pasukan kuat.
"Tapi dalam masa sama, jangan lupa, kita juga pasukan yang sedang meningkat.
"Oleh itu, kita tidak boleh bergantung atau kagum terhadap kekuatan/kelebihan pasukan lain; tetapi sebaliknya kita perlu sentiasa percaya dengan kekuatan kita sendiri,” katanya.