Pegawai penjara ditemui mati

Iklan
Mohd Suhaimi Ali

MARANG - Seorang pegawai Penjara Marang ditemui maut oleh rakan sekerja di rumahnya, semalam.

Mangsa berusia 41 tahun itu, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa lebih kurang jam 8.50 pagi sebelum rakan mangsa memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan dari Penjara Marang kira kira jam 9 pagi sebelum ke lokasi kejadian untuk siasatan.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati mangsa sudah tidak bernyawa di dalam rumahnya di Taman Koperat dalam kawasan penjara,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Beliau berkata, sebelum itu, pegawai bertugas dikatakan menghubungi mangsa beberapa kali, namun panggilan tidak dijawab.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumah mangsa, pegawai terbabit menjalankan pemeriksaan sebelum menemui mangsa yang sudah meninggal dunia di dalam rumah berkenaan.

Iklan

Difahamkan, hanya mangsa tinggal di situ, manakala pegawai dan anggota lain tinggal di kuarters berasingan dalam taman sama berikutan keadaan bangunan kuarters itu banyak kerosakan.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian pegawai terbabit tidak ada kaitan dengan perlakuan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mangsa yang aktif bersukan itu berasal dari Temerloh, Pahang dan bertugas sebagai Pegawai Parol di Pejabat Parol di Temerloh sebelum ditukarkan ke Penjara Marang September lalu.

Difahamkan mangsa mempunyai rekod bekerja yang cemerlang namun sudah bercerai dan tidak mempunyai cahaya mata.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak penjara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.